Khamis, 16 Februari 2017

ANTOLOGI 'PAHLAWAN'

Antologi Pahlawan merupakan koleksi karya yang memenangi Peraduan Mengarang Perayaan Hari Guru Perak 1987/1988. Antologi ini memuatkan lima buah sajak, lima buah syair, lima buah cerpen dan empat buah skrip drama. 

Buku setebal 208 halaman ini ditulis oleh Encik Nordin bin Ahmad, Encik Mohd. Paris bin Arshad, Encik Mohammed Mokhtar bin Awang, Encik Kamarudin bin Mahidin, Puan Zaleha bt. Yahya, Encik Zainol Abidin bin Hazim, Encik Meor Ismail bin Ahmad Hassan, Encik Ahmad bin Uda, Encik Chai Loon Guan, Encik Maniyamin bin Ibrahim (Nassury Ibrahim), Encik Zambri bin Abdul Rahman, Encik Baharuddin bin Hamzah, Cik Thuwabatul Islamiyah bt. Zainal Abidin, Encik Termizi bin Isa, Encik Hawari bin Che Teh, Encik Mohammed bin Haji Ibrahim, Juniah bt. Husin, dan Encik Mahmud bin Hassan. 

Karya Maniyamin bin Ibrahim (Nassury Ibrahim) yang diisytihar sebagai pemenang ialah berjudul 'Bunga di Atas Pusara.'
BUNGA DI ATAS PUSARA
Di atas pusara itu 
bunga-bunga telah lama layu 
hilang satu persatu 

hanya bau mengisi masih 
ruang demi ruang zaman 
mengisi masih 
ruang demi ruang insan 

seorang pemngembara 
tiba-tiba berhenti di tengahnya 
dia menemui kesan-kesan bunga 
dan bau yang segar mekar 

seorang sarjana
tiba-tiba mendapat kesimpulan 
pada dunia sarjananya 
sekuntum bunga bisa hilang 
kelompak dan warnanya 
namun tidak akan baunya 

di atas pusara itu 
bunga-bunga telah lama layu 
namun baunya harium selalu.

Selasa, 7 Februari 2017

Teori Takmilah

Buku Teori Takmilah: Perluasan & Penafsiran merupakan sebuah antologi esei yang menerapkan Teori Takmilah dalam pelbagai genre kesusasteraan.

Buku yang diterbitkan pada tahun 2014 ini telah diselenggarakan oleh Abdul Halim Ali dan diterbitkan oleh Persatuan Penulis Budiman Malaysia.

Buku setebal 262 halaman ini disempurnakan oleh 12 orang penulis yang menerapkan kajian dalam bidang kepakaran masing-masing.

Sebuah esei kritikan Nassury Ibrahim dimuatkan di halaman 131 - 149, berjudul "Pemikiran Takmilah dalam Sajak-Sajak Kumpulan 'Ayn Karya Kemala."


Isnin, 6 Februari 2017

Aku Generasi Zaman Baharu


NILAI-NILAI MURNI CERMINAN ISLAM
Dr Azman Rahmat 

Seterusnya, isu perjuangan, semangat patriotik dan rasa cintakan tanah air merupakan bahan utama yang terdapat dalam sajak "Aku Generasi Zaman Baharu" karya Nassury Ibrahim. Generasi yang dilakarkan oleh penyajak ialah generasi yang tidak kenal jati diri. Generasi ini tidak tahu pahit maung perjuangan pejuang kemerdekaan menentang penjajah. Ironinya, generasi baharu ini tahu keadaan pemimpin yang berebut kuasa  dan amalan rasuah yang menjadi tunjang kehidupannya. Aspek penyimpangan bahasa pada rangkap terakhir, 'di sini tanah berwalang seribu'  berjaya menimbulkan keindahan dan ketajaman makna (Dewan Sastera Bil. 4 2017:56)

Jumaat, 3 Februari 2017

JOGJA





JOGJA

Jogja menyambutku dengan air penawar langit 
udara beransur malam dan lampu akal berdiri  
di sepanjang laluan

aku melangkah dengan kaki bas tanpa menghiraukan\
‘ring of fire’  dan pintu-pintu bunker kemas berkunci  
perjalanan ini tidak akan aku mencarimu, Merapi

dan engkau Roro Jonggrang puteri jelita Prambanan 
betapa digilai Bondowoso dengan mas seribu candi  
dan jin-jin bertempiaran lari oleh kebijakan akalmu 
menipu ayam jantan, juga tidak kuhiraukan

perjalanan ini mencari cinta Sailendra 
bertahun memahat kisah suci pada ribuan batu,   
stupa dan patung Buddha 
membentuk bukit kitab umat memahami ajaran  
datang membersih jiwa daripada daki duniawi

Borobudur, walau kita berlainan agama 
tuntutan ketakwaan umat adalah sama  
kuambil cinta pemahat batumu itu 
buat melentur cinta dan akar peribadiku.

NASSURY IBRAHIM