Jumaat, 10 Oktober 2014

Perkampungan Penulis Pelajar IPG Zon Tengah

Dalam PERKAMPUNG PENULIS PELAJAR IPG ini, aku terlibat secara tidak langsung. Pada 1 Oktober, aku dipanggil oleh Pengarah IPGKBM dan Datuk A. Latiff Bakar, meminta aku menyumbang kepakaran pada slot pukul 8 - 10 malam (2 Oktober) dan slot pukul 8 - 10 pagi (3 Oktober).

Slot malam, aku membentangkan ciri-ciri penulis berjaya dan teaori menulis sajak menggunakan Teknik Perulangan. Teknik ini hasil kajian aku terhadap sajak-sajak sedia ada. Telah tiga tempat aku bentangkan teknik ini. Pertama, di Kota Bharu (anjuran Puspa), kedua di Tawau, dan ini yang ketiga.

Slot sebelah pagi aku praktis menulis sajak menggunakan Teknik Kosa Kata. Konsep teknik ini pernah digunakan oleh Sutung Umar RS (tanpa dijenamakan). Aku minta peserta menghasilkan sajak menggunakan dua teknik tersebut.

Di samping itu, aku juga mengaplikasikan menulis sajak menggunakan Teknik Sambung Idea. Konsep teknik ini juga pernah diaplikasikan (juga tanpa dijenamakan) oleh Awang Abdullah. 

Alhamdulillah, aku mendapat hasil yang memberangsangkan. Semoga akan lahir suatu masa nanti para penulis bekas pelajar IPG yang mengikuti slot Nassury Ibrahim tersebut.

Rabu, 8 Oktober 2014

Jendela Timur, Disember 2009

JENDELA TIMUR bilangan 28 bulan Disember 2009 memuatkan sebuah sajak karya Nassury Ibrahim. 

Sajak di halaman 24 berjudul Kembang Bunga. Berikut diperturunkan sepenuhnya sajak berkenaan.

KEMBANG BUNGA

Kembang bunga akan
layu dan akhirnya mati
di tangkai masa
namun wanginya tetap
harum dan mekar
di tanah jasa.

27 September 2009.
                      

Selasa, 7 Oktober 2014

Jendela Timur, April 2011

JENDELA TIMUR bilangan 32 bulan April 2011 memuatkan sebuah rencana berita yang ditulis oleh Nassury Ibrahim menggunakan nama Maniyamin Ibrahim.

Rencana berita itu bertajuk "Diskusi Karya Wilayah Timur" dimuatkan di halaman pertama dan halaman 21. 

'Diskusi yang dilaksanakan di IPG Kampus Kota Bharu (IPGKKB) adalah anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dan Kelab Bahasa Melayu IPGKKB (Kebayu). 

Diskusi yang diadakan pada 6 Mac 2011 membincangkan kumpulan cerpen Merpati Menari di Padang Embun karya Zanazanzaly, dan kumpulan drama Awal Tengah Akhir karya Wan Ahmad Ismail. 

Penceramahnya ialah Dr. Fatimah Busu (mantan pensyarah USM) dan Encik Muhammad Nazri Ahmad (UKM), dipengerusikan oleh Encik Maniyamin Bin Ibrahim.  

Jumaat, 3 Oktober 2014

Jendela Timur, Disember 2008

JENDELA TIMUR bilangan 24, bulan Disember 2008 (Zulhijah 1429H) diterbit oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Timur. Editornya, Basirah Arifin.

Terdapat sebuah berita rencana yang ditulis oleh Nassury Ibrahim di halaman 12 - 13. Tajuknya, Diskusi Karya Penulis Timur, menggunakan nama Maniyamin Bin Haji Ibrahim.

Diskusi tersebut telah membedah empat buah kumpulan sajak dari Pantai Timur Semenanjung, iaitu kumpulan sajak Rahim Hayat oleh Wikunila MS, Di Ruang Ini (Sahrunizam Abdul Talib), Elipsis (Nassury Ibrahim), dan Kepada Angin Juga (Marsli N.O).

Diskusi tersebut telah dilaksanakan di Hotel Regency, Brinchang, Cameron Highlands pada 11 - 13 November 2008. Ahli panelnya ialah Zaen Kasturi.