Rabu, 2 November 2016

Antologi Sajak Dermaga Hayat

Aku menulis kata penghantar bagi antologi sajak Dermaga Hayat. Tajuknya 'Tautan Kreatif Akal Budi Empat Penyair Muda Terengganu' (Rujuk blog Nassury Ibrahim).

Antologi ini diterbitkan oleh Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) pada tahun 2016. 

Ia memuatkan sajak-sajak yang ditulis oleh empat orang penyair Terengganu, iaitu Lara MN, Kamarulzaman Ismail, Mahanie Sulong dan Hilmi Rindu. 

Terengganu dan PELITA tidak asing padaku. Malah, aku sendiri menjadi ahli seumur hidup PELITA sekitar tahun 1994.

Semoga empat orang penyair ini akan terus maju dan tidak mudah mengalah. Aamiin.

Sajak Mencari Kesumba

Siaran BH pada 29 November 2015.

Kumpulan Puisi Ruang Kota

Kumpulan Puisi RUANG KOTA karya Nassury Ibrahim memuatkan sebanyak 45 buah sajak. 

Sajak-sajak dalam kumpulan ini khusus membicarakan tentang imej kota. Ia merupakan pengalaman, persepsi, dan impian Nassury Ibrahim terhadap hidup dan kehidupan di kota. 

Kumpulan puisi setebal 45 halaman ini diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia pada tahun 2015.

Khamis, 27 Oktober 2016

Antologi Puisi Malaysia - Thailand

Antologi Puisi Malaysia - Thailand ini memuatkan 60 buah puisi yang dihasilkan oleh penyair dari Malaysia dan Thailand. 

Puisi-puisinya sekitar tema "Kemanusiaan dan Ketuhanan."

Antologi setebal 243 + 1vii halaman ini diterbitkan dalam dwibahasa - bahasa Melayu dan bahasa Thai. Diterbitkan oleh ITBM dengan kerjasama PENA dan The Writers' Association of Thailand pada tahun 2016.

Antologi ini memuatkan sebuah sajak Nassury Ibrahim yang berjudul "Manifesto Rakyat" telah diselenggarakan oleh Saifullizan Yahaya (Malaysia) dan Abdul Razak Panaemalae (Thailand). 

MANIFESTO RAKYAT

Bahawa engkau kami lantik,
kata bapak,
dari visi dan janji

bukan untuk menakutkan kami,
kata bapak,
atau untuk kami takuti

dari hutan kemiskinan ini,
kata bapak, tunjukkan jalan
ke rumah kejayaan

dari laut kegelapan ini,
kata bapak, tunjukkan pedoman
ke Pulau Impian

bahawa engkau kami beri kejayaan,
kata bapak, berikan kami
kebahagiaan.

15 November 2005


Selasa, 10 Mei 2016

Antologi Puisi 'Bahtera Peradaban'

Antologi Puisi BAHTERA PERADABAN memuatkan sajak-sajak yang ditulis oleh sebilangan penulis berasal dari negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga. 

Antologi setebal 642 halaman ini ditulis oleh 161 orang penyair dengan jumlah sajak sebanyak 507 buah. 

Sajak-sajaknya pelbagai tema dan variasi bahasa, telah diselenggarakan oleh A. Aziz Deraman, Abdul Hadi Yusoff, Muhamad Ikhram Fadhly Hussin, Sharrul Rizal Hashim, dan Wadi Leta S.A. Diterrbitkan oleh Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) tahun 2016.

Terdapat tiga buah sajak yang ditulis oleh Nassury Ibrahim, iaitu sajak bertajuk 'Minda Merdeka,' (halaman 391), 'Hari Jadi,' (392) dan sajak 'Di Bawah Pohon Kemboja' (393).

MINDA MERDEKA

Jari-jari kami telah bersedia
menyahut semboyan pindah
jelaga nyawa di angkasa
toksik darah di sungai
racun biologi di sayuran

Gadis rasuah mendekati manja
kami memilih ilalang sentosa
buat menganyam rumah anggota.

Walau telinga dilagui merdu
kami memilih hati nan duka
memetik teladan rahsia.

Jari-jari kami telah bersedia
menterjemah minda merdeka
sesungguhnya engkau rasuah
racun membunuh bangsa.


HARI JADI

Ini hari mahasetia
hadir tanpa dipaksa-paksa
pergi tanpa diminta-minta
ia peringatan pada yang sedar
kegembiraan pada yang lalai

Di ini hari beban usia kita bertambah
betapa dengan pesta mahasuka
tidak ia termakan rasuah
dibiarkan manis senyum pejal daging
perlahan-lahan masam dan lemau

Di ini hari laut usia kita kian surut
terbentuklah pulau-pulau sejarah
di atasnya kelihatan
tumbuh-tumbuhan amal
yang pernah kita tanam

Seorang musafir sampai pada hari jadinya
perlahan-lahan dia memasuki pintu kesedaran
antara dunia yang kian menjauh
dengan akhirat yang kian mendekat
dia pun pelan tindakan amalan
kerana masa bukan lagi sahabat
memunggu menantinya menunaikan
janji pertama.


DI BAWAH POHON KEMBOJA

Tak perlu berkunjung datang
ke ini perkampungan kami,
dari kejauhanmu itu
hulurkan saja kata-kata doa,
kata dari kitab atau ingatan tuan
seikhlas hati

Hikmahnya tentu saja
untuk tuan juga
kerana kita datang
dari Yang Satu
dan pulang pun
kepada Yang Satu.

Rabu, 9 Mac 2016

Istiqamah Bahasa

Antologi ISTIQAMAH BAHASA memuatkan sajak-sajak yang dihasilkan oleh 50 orang penyair dari Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia dan Singapura.

Mereka terdiri daripada penyair veteran dan baharu.

Antologi ini diterbitkan oleh IBH Khidmat pada tahun 2016, dan diselenggarakan oleh Ilhami Hisham. Kata Penghantar ditulis oleh Datuk Dr Awang Sariyan.

Antologi ISTIQAMAH BAHASA terbahagi kepada dua bahagian, iaitu bahagian Penyair Tamu seramai 33 orang, dan bahagian Peserta seramai 20 orang.

Sebuah sajak saya (Nassury Ibrahim) dimuatkan dalam bahagian Penyair Tamu. Sajak itu berjudul Kita dari Rumpun yang Sama di halaman 40.


KITA DARI RUMPUN YANG SAMA

engkau di sana dengan rambu-rambu
aku di sini dengan malu sipu-sipu
hulurkan tangan cintamu
mari kita berjabat mesra
seperti anak dan ayah

betapa engkau di sana aku di sini
kita dari rumpun yang sama
membesar daripada
perut bangsa yang sama
lahir atas tanah moyang yang sama

betapa engkau di sana aku di sini
usah kita membiarkan kuku politik
mencakar pipi cinta
mematahkan lantai budaya
kerana kita berkongsi
suara dari bahasa yang sama
pantang dari adat yang sama
berdoa pun kita
pada Tuhan yang sama

betapa engkau di sana aku di sini
kita dari rumpun yang sama.

16 Oktober 2014

Rabu, 2 Mac 2016

Antologi Sajak Pertemuan Teratai dan Bunga Raya

 Antologi Teratai dan Bunga Raya ini terbitan tahun 2015 memuatkan sajak-sajak penyair Malaysia yang diterjemahkan ke dalam bahasa Tamil.

Antologi sajak dwibahasa mengandungi sebanyak 50 buah sajak hasil karya 50 orang penyair veteran dan muda dari seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak. 

Antologi yang dilancarkan oleh Menteri Kesihatan Malaysia pada 26 Februari 2016 bertempat di Dewan Belia Antarabangsa, Cheras. 

Buku ini diselenggarakan (dan sekali gus editor) oleh Dr. Krishanan Maniam dan Dr. Mohammed Saleeh Rahamad, dan diterbitkan oleh Kalaignaan Pathipagam dan Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya. 

Team editornya terdiri daripada Dr Krishanan Maniam, Dr Mohana Dass, Dr S. Kumaran, Dr Apitha Sabapathy, Dr Aranga Paari, dan Dr Oppila Mathivanam.  

Terdapat sebuah sajak saya (Nassury Ibrahim) yang diterjemahkan ke bahasa Tamil, iaitu sajak berjudul Mencari Bahagia.

Terima kasih banyak kepada pihak yang memilih dan menterjemah sajak saya.

Rabu, 17 Februari 2016

Anugerah Sastera Negeri Kelantan 2015

Buku Anugerah Sastera Negeri Kelantan 2015 (ASNK) diterbitkan sempena anugerah berkenaan, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur. 

Buku setebal 220 halaman ini memuatkan karya-karya yang memenangi ASNK.

Terdapat empat kategori karya dipertandingan, iaitu Bahagian A berupa buku, Bahagian B berupa karya eceran, Bahagian C berupa Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan, dan Bahagian D berupa Hadiah kepada Penggerak aktiviti sastera di negeri Kelantan.

Aku (Nassury Ibrahim) telah memenangi Bahagian A, iaitu bagi kumpulan cerpen Naratif Jurnalis terbitan ITBM tahun 2013.

Buku ini diselenggarakan oleh Ariza Che Ismail, dan Muhamad Ikhram Fadhly Hussin tahun 2015.


Rabu, 27 Januari 2016

Bah Kuning


Rakaman bah kuning yang melanda Kelantan, khususnya, pada tahun 2014 telah dirakam oleh para penyair dalam antologi berjudul Bah Kuning. 

Antologi ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Timur pada tahun 2015, dan diselenggarakan oleh Sharrul Rizal Hashim dan Muhamad Ikhram Fadhly Hussin.

antologi setebal 260 halaman memuatkan 81 buah sajak yang ditulis oleh 59 orang penyair, dan 12 buah cerpen yang ditulis oleh 11 orang cerpenis.

Terdapat sebuah sajak Nassury Ibrahim dalam halaman 93 antologi ini, yang diberi judul "Tiba-tiba."

TIBA-TIBA

Hujan masih lena dalam gebar awan
kilat masih berselimut di hujung serambi
alam nan hijau masih langit nan cerah

Namun, tiba-tiba sahaja
ya, tiba-tiba sahaja orang hulu itu
berpusu-pusu menggelongsor menerjah turun
dari parit bukit ke lembah rumput

Apakah alamat? Apakah isyarat?
tak sempat kami mentafsirnya
menganalisis dan berwacana

Tiba-tiba sahaja, tiba-tiba sahaja
kebun jadi padang, padang jadi laut
lembah nan hijau pun kuning berselut

Kereta dan jalan, minda dan haiwan
pun saling merindu, dan bertanyaan;
"Mengapakah engkau tiba-tiba
menerkam dan membaham
damai rumah dan hidup kami?"

15 Mac 2015