Jumaat, 18 Mei 2018

Bianglala Melukis Syurga

BIANGLALA MENULIS SYURGA merupakan sebuah antologi sajak yang diterbitkan oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) tahun 2017. 

Antologi yang diselenggarakan oleh Mohamad Saleeh Rahamad dan Rozlan Mohamed Noor ini memuatkan sekitar 140 orang penyair Malaysia dan 147 buah sajak yang pelbagai latar dan pemikiran. 

Sebuah sajak Nassury Ibrahim berjudul 'Aku Generasi Zaman Baharu' dimuatkan dalam halaman 110 daripada 196 halaman penuh.



AKU GENERASI ZAMAN BAHARU

Aku generasi zaman baharu
tak kenal keris, tombak, atau peluru
pun senapang, pistol atau mortal
meredah hutan ideologi memburu seteru
dia petualang atau komunisme ratu

aku lihat Ogos segak bersemangat
membawa panji-panji kesetiaan adat
gagah menjunjung cinta kemenangan
warna-warni rakyat merai kedamaian

aku menatap berita kepala akhbar
mereka berbicara tentang perjuangan
sengsara hidup merana menderita
di sangkar rumah penjajahan kuasa
kini terlipat dalam kertas sejarah

aku tak pernah menderita dijajah
amat perit mendengar nenek moyang berkisah
berbari berdogeng juga bermitos
tentang British dan Belanda
tentang Jepun dan Bintang Tiga
mereka ini kawan-kawanku
sekuliah seganding ilmu
semara searah tuju
 
aku generasi zaman baharu
hidup tak pernah memburu seteru
di sekeliling ibu ayah pemimpin
bercakaran berebutan piala kuasa,
apakah ini generasi merdeka
atau mereka warisan penjajah?

aku tak pernah berkelahi berebut kerusi
menuding menuduh memfitnah jauh sekali
itu Mandaliar bersikitul diri
hulu Tamingsari raja bernegeri
jangan batu berputih kembali.

betapa aku tak pernah berjuang
sebutir pun tidak batu kehilangan tuan
seperti itu cinta di tanah pahlawan
kokok berderai-derai
bisu di pertengahan jalan!

aku generasi zaman baharu
suara dan hati cintaku satu
di ini tanah berwalang seribu.

31 Julai 2008

Puisi Hati Penyair Kelantan

Antologi PUISI HATI PENYAIR KELANTAN diterbitkan oleh Penyair pada 2017. Penyair yang ingin memuatkan dalam antologi ini mesti membayar sebanyak RM30. Diselenggarakan oleh Persatuan Penyair Malaysia (Penyair) Cawangan Kelantan. Terdapat sekitar 60 orang penyair dari Kelantan menyumbangkan sajak-sajak mereka. Antologi setebal 182 halaman ini dihiasi Prakata yang ditulis oleh Tuan Siti Mastazameatun, manakala Kata Pengantar ditulis oleh A. Rahim Abdullah.

2 SAJAK PEDIH

Sajak 1: Kata Jatuh

Kalau rasamu luka
ambillah pedih itu.

Sajak 2: Kata Bangun

Ambillah aku
betapa pedih itu
bukan milikmu.


KATA SENI MELAYU

Cantik pinggan itu
bukan kerana Melamnine
cantik pinggan itu
kerana bentuk dan bunga

Batapa cantik pinggan Melayu
bukan kerana bentuk dan bunga
cantik pinggan Melayu
kerana nasi-nasi di atasnya

ya, dengan nasi-nasi itu
dapat aku sempurnakan
engkau seorang khalifah
dapat aku sempurnakan
engkau hamba Allah.

Khamis, 17 Mei 2018

Pelangi Merentasi Buana

Antologi sajak PELANGI MERENTASI BUANA ini diterbitkan oleh Kalaignaan Pathipagam, Chennai, India, pada tahun 2017 sempena Pertemuan Penyair India - Asean. 

Terdapat 107 buah sajak yang ditulis oleh penyair dari India, Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand dan diselenggarakan oleh Mohamad Saleeh Rahamad dan Dr. Krishanan Maniam. 

Antologi ini diterbitkan dalam dwibahasa, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Tamil. Terdapat sebuah sajak Nassury Ibrahim di halaman 148 berjudul Batu Kota.

BATU KOTA

Batu-batu tumbuh ini 
hadiah pemikir sakti 
batu-batu teguh ini 
sumbangan pejuang suci

anakku 
jagalah warisan ini 
daripada pemikir sakti 
peliharalah keteguhan ini 
daripada pejuang suci

anakku 
hiduplah serasa duka 
meski berlainan rupa 
hiduplah serasa ria 
meski berlainan percaya

batu-batu tumbuh ini 
hadiah pemikir sakti 
batu-batu teguh ini 
sumbangan pejuang suci.