Khamis, 31 Disember 2009

AKSARA MERDEKA

Antologi sajak Aksara Merdeka memuatkan sajak-sajak bertemakan patriotisme  yang menggambarkan perasaan cinta 36 orang penyair terhadap bangsa, agama dan negaranya.  Antologi terbitan tahun 2000 ini diselenggarakan oleh Gapena dan diterbitkan oleh Gapenaniaga Sdn. Bhd. Sajak-sajaknya dijadikan teks wajib Sayembara Deklamasi Bulan Kemerdekaan pada setiap tahun. Daripada 36 buah sajak itu, sajak Nassury Ibrahim berjudul 'Lelaki Pertama Membuka Sangkar Derita Kita' telah dimuatkan di halaman 37 - 38.

Selasa, 29 Disember 2009

GEMA MEMBELAH GEMA 13

Antologi sajak Gema Membelah Gema 13 diselenggarakan oleh Hamzah Hamdani. Antologi ini diterbitkan sempena Hari Puisi Nasional ke XV pada 3 - 5 November 2000 di Resort Tok Senik, Langkawi, anjuran Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, Majlis Kebudayaan Negeri Kedah (MKNK), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), dan Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah (PPAK). Sajak Nassury Ibrahim berjudul 'Tangan - 1' dimuatkan di halaman 106. Keseluruhan terdapat 168 buah sajak yang dihasilkan oleh 168  orang penyair.

TAMAN BAHASA IBUNDA

Kumpulan sajak Taman Bahasa Ibunda diselenggarakan oleh Chulan Chin dan Talib Samat, diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1993. Dalamnya terdapat 175 buah sajak yang dihasilkan oleh 35 orang penyair. Lima buah daripada jumlah sajak berkenaan merupakan karya Nassury Ibrahim. Judulnya ialah 'Taman Kami' di halaman 189, 'Soalnya, Sekarang' (191), 'Berkunjung ke Makam Cinta' (192) 'Pantai' (1993), dan 'Pada Satu Ingatan atau Satu Tanggungjawab' (195). Kata Pengantarnya ditulis oleh Mohamad Daud Mohamad, seorang pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Isnin, 28 Disember 2009

KONTEKS SASTERA & BUDAYA MELAYU

Buku Konteks Sastera & Budaya Melayu setebal 272 diterbitkan oleh Karisma Publications Sdn. Bhd tahun 2009. Buku ini merupakan koleksi kertas kerja yang dibentangkan dalam pelbagai seminar, dan artikel yang pernah disiarkan dalam pelbagai penerbitan. Kandungannya terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian 1: Konteks Sastera Melayu, memuatkan tujuh buah esei kesusasteraan dan seni Melayu, iaitu 'Muatan + Gaya = Frasa Baharu: Bacaan terhadap Sajak Penyair Generasi Baharu Semenanjung' di halaman 3 - 25, 'Membina Khalayak Sastera dalam Era Siber' (26 - 42), 'Citra Fikir Armijn Pane dalam Belenggu dari Sudut Falsafah Pujangga Baru' (43 - 62), 'Idealisme dan Intelektualisme Penulis Muda dalam Esei' (63 - 84), Teori Takmilah dari Sudut Persoalan dan Bahasa Sajak 'Padamu Jua' karya Amir Hamzah dan 'Kita Ini Tetamu Senja' karya A Samad Said' (85 - 107), 'Seni Persuratan Melayu: Menggali Keintelektualan Silam Membina Seni Masa Kini' (108 - 144), dan 'Membaca Novel 'Shit' dan Membaca Pembaca Novel 'Shit' (145 - 153). Bahagian 2: Konteks Budaya Melayu, juga memuatkan tujuh buah esei tentang budaya Melayu, iaitu 'Konsep Kejadian Alam dan Manusia Berdasarkan Kosmologi Melayu (155 - 169), 'Konsep Orang dalam Masyarakat Melayu' (170 - 183), 'Rumah Melayu: Manifestasi Simbolisme Identiti Melayu' (184 - 201), 'Sistem Nilai Orang Melayu dan Kesan Terhadap Perkembangan Ekonomi Mereka' (202 - 213), 'Keindahan Seni dalam Tamadun Islam' (214 - 222), 'Peranan Penaung Terhadap Seni Melayu' (223 - 247), dan 'Seni bina Masjid' (248 - 259). 

GAYA BAHASA KIASAN

Buku Gaya Bahasa Kiasan diterbitkan oleh Karisma Publications Sdn. Bhd. pada tahun  2006. Kandungannya membincangkan sajak-sajak yang memenangi Hadiah Sastera Malaysia (HSM) dari tahun 1971 hingga 1989. Aspek khusus yang dibicarakan ialah penggunaan dan keberkesanan gaya bahasa kiasa dalam sajak. Jenis gaya bahasa kiasan yang dikaji ialah metafora, personifikasi, simile, metonimi, hiperbola, sindiran, sinedoki dan alegori.Turut dibincangkan ialah sejarah Hadiah Sastera Malaysia dari tahun 1971 - 1989, dan cabarannya, juga kepentingan menggunakan gaya bahasa kiasan dalam karya, khususnya sajak.

Ahad, 27 Disember 2009

KERTAS KERJA MAJLIS BICARA KARYA NEGERI TERENGGANU 2008

Kertas kerja untuk Majlis Bicara Karya Negeri Terengganu anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur dengan kerjasama IPG Kampus Sultan Mizan yang dilaksanakan pada 1 Disember 2008 bertempat di IPG Kampus Sultan Mizan. Tajuk kertas kerja tersebut ialah "Menjenguk 'Waktu' dari Jendela Strukturalisme." Kandungannya adalah mengkaji sajak-sajak hasil karya Dr. Abdullah Ngah dalam kumpulan sajak "Waktu" terbitan Pustaka M. Didik tahun 2008. Saya menggunakan Teori Strukturalisme mengkaji sajak-sajak berkenaan. Kertas kerja ini sesuai untuk pelajar PISMP di IPG.

KAMUS KOMSAS KBSM

Buku Kamus Komsas KBSM diusahakan oleh saya dan Dr. Shamsudin Othman, diterbitkan oleh Oxford Fajar Sdn. Bhd (Fajar Bakti). Cetakan pertama tahun 2003. Kandungannya terbahagia dua, iaitu Bahagian A: Istilah Kata Klasik, mempunyai lebih daripada 1,700 entri. Manakala Bahagian B: Istilah Sastera, mempunyai sekitar 200 entri. Buku ini sesuai digunakan oleh para pelajar, bermula tingkatan satu hingga lima. Juga boleh dimanfaatkan oleh pelajar yang mengambil kertas kesusasteraan, dan peminat/pengkaji kesusasteraan. Penasihat projek ialah Dr. Othman Puteh.

Sabtu, 26 Disember 2009

MENIMBA LAUT


Buku ini merupakan kumpulan sajak kedua saya dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada tahun 1996, di bawah Projek Penggalakan Penulis Muda DBP. Terdapat sekitar 61 buah sajak. Menurut penyair Shamsuddin Jaafar, "Nassury Ibrahim merupakan seorang penyair muda berbakat dan berpotensi untuk menjadi penyair yang baik. Puisi-puisinya memperlihatkan kemampuan penyair mengolah dengan jujur dan mengemukakan sesuatu persoalan atau peristiwa dengan cukup berkesan dalam bait-bait yang pendek, sederhana tetapi menyakinkan dan memikat."

Jumaat, 25 Disember 2009

DI RUMAH WIRAMAL

Buku cetakan tahun 2003 ini merupakan kumpulan sajak perseorangan saya yang ketiga, diterbitkan oleh Penerbitan Pustaka Nusa Sdn. Bhd. dengan modal biayaan sendiri. Sajak-sajak dalam kumpulan ini berciri haiku. Terdapat 38 buah sajak. Semua judul sajak bermula dengan perkataan "Rumah ...." Mesejnya adalah berkenaan krisis moral, politik, eksekutif, perundangan dan keselamatan negara, khususnya dekad akhir 1990-an. Sebilangan besar sajak-sajak ini dihasilkan kesan daripada krisis politik antara Anwar Ibrahim dengan Dr. Mahathir Mohamed. Akronim "wiramal" yang saya maksudkan ialah "wira Malaysia."

Khamis, 24 Disember 2009

SUARA ANAK MERDEKA

Kumpulan sajak Suara Anak Merdeka diselenggarakan oleh A Ghafar Ibrahim terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Sajak-sajak ini memenangi Hadiah Puisi Kebangsaan Shapadu-Gapena 1992 dan menjadi teks Wajib Sayembara Puisi Hari Kebangsaan bermula tahun 1992. Dalamnya terdapat sajak Nassury Ibrahim yang berjudul Pidato Umum di Dataran Merdeka. Sajak ini telah 'menghadiahkan' juara sebanyak dua kali pada tahun 1992 dan 1993, iaitu peserta dari Pulau Pinang dan Melaka.