Khamis, 29 April 2010

KOMPILASI ESEI PERTANIAN

KOMPILASI ESEI PERTANIAN diterbitkan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang tahun 2014, sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan. Di dalamnya terdapat beberapa buah esei yang memenangi Pertandingan Menulis Esei sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan tahun 2013. Sebuah esei puteri sulung Nassury Ibrahim bernama Nur Syuhada, telah diisytiharkan memenangi tempat pertama dalam pertandingan tersebut. Esei tersebut bertajuk, 'Agromakanan: Bersama Membangunkan Negara' diterbitkan di halaman 5 - 8.

Khamis, 21 Januari 2010

MAJALAH CEMPAKA

MAJALAH CEMPAKA merupakan majalah para pelajar Kursus Diploma Perguruan Khas Satu Tahun, Institut Bahasa, Kuala Lumpur, pada tahun 1994. Terdapat 10 kumpulan/Unit. Saya di bawah kumpulan S8 seramai 20 orang, Kursus Kesusasteraan dalam Pendidikan Bahasa Melayu. Jawatan saya - Maniyamin Bin Ibrahim ialah Penolong Ketua Editor 2 Majalah Cempaka. Terdapat dua buah karya Nassury Ibrahim (Maniyamin Ibrahim) dimuatkan, iaitu satu esei kritikan karya bertajuk 'Novel Perlumbaan Kedua: Syarat Makan Tuan' di halaman 37 - 40, dan sebuah sajak berjudul 'Jasamu, Guru' di halaman 69.   

Isnin, 18 Januari 2010

HADIAH SASTERA UTUSAN-PUBLIK BANK 1989

SAJAK Nassury Ibrahim yang berjudul 'Pendekar' siaran akhbar Utusan Zaman pada 2hb. Julai 1989 telah diisytiharkan sebagai pemenang Hadiah Utama, Hadiah Sastera Utusan-Publik Bank. 


HUBUNGAN BUDAYA MELAYU DALAM PELBAGAI PERSPEKTIF

HUBUNGAN BUDAYA MELAYU DALAM BERBAGAI PERSPEKTIF ialah kumpulan makalah yang dibentangkan dalam Seminar Internasional Hubungan Melayu Serantau: Sumatera-Malaysia di Fakulti Sastera, Universiti Sumatera Utara (USU) pada 24 - 26 Ogos 2007. Seminar ini diselenggarakan oleh Fakultas Sastera, USU dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA). Kertas kerjanya turut dibukukan dengan judul Dialog Serantau: Malaysia-Sumatera, diselenggarakan oleh Mohamad Saleeh Rahamad, S.M. Zakir dan Shamsudin Othman pada tahun 2008. Sebuah esei Maniyamin Ibrahim (Nassury Ibrahim) termuat dalam kedua-dua penerbitan, iaitu berjudul 'Bicara Teori Takmilah: Teori Kritikan Sastera Malaysia Mandiri.' 

DEMI KEMERDEKAAN

DEMI KEMERDEKAAN ialah sebuah kompilasi karya terpilih pelajar sempena Peraduan Mengarang Puisi dan Esei Kemerdekaan sempena ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-46. Antologi ini diterbitkan oleh Era Visi Publication Sdn. Bhd. dengan kerjasama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Berita Harian Sdn. Bhd. Antologi memuatkan 59 buah karya, iaitu 46 buah sajak oleh 46 orang pelajar, dan 13 buah esei oleh 13 orang pelajar. Salah sebuah sajak dan diisytiharkan sebagai pemenang pertama ialah sajak 'Rumahku yang Indah' (halaman 1) karya Nur Syuhada, iaitu puteri sulung Nassury Ibrahim. 

PETERANA KASIH

PETERANA KASIH ialah sebuah antologi sajak yang khusus merakamkan persepsi para penyair Malaysia, kaum keluarga, para pembesar dan rakyat negeri Pahang terhadap ke bawah duli Tuanku Sultan Pahang, Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Ahmad Shah Ibni A-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'azzam Shah. Antologi ini diselenggarakan oleh Ahmad Farid Abd. Jalal, Amaruszati Noor Rahim, dan Yaakub Isa telah diterbitkan oleh Lembaga Muzium Negeri Pahang pada tahun 2004. Buku ini memuatkan catatan salasilah Sultan Pahang dan sajak. Sajak Nassury Ibrahim berjudul 'Merafak Sembah Menjunjung Titah' terdapat di halaman 124 - 125.  

Jumaat, 15 Januari 2010

JURNAL PARADIGMA BIL. 6

JURNAL PARADIGMA  BIL 6 terbitan Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Profesionalisme Perguruan, Institut Perguruan Tuanku Bainun (kini IPGKTB) tahun 2007. Jurnal ilmiah ini memuatkan 12 buah hasil kajian dalam pelbagai bidang ilmu yang dilaksanakan oleh 14 orang pensyarah. Sebuah daripadanya ialah hasil kajian Maniyamin bin Haji Ibrahim (Nassury Ibrahim) yang berjudul 'Teknik Soalan-Penyoalan dan P & P Bahan Kesusasteraan: Mencari Keberkesanan' dimuatkan di halaman 12 - 18.


LANGIT DUSUNKU

LANGIT DUSUNKU ialah kumpulan sajak Leo A.W.S terbitan Pustaka Dewan Puisi (pdp) tahun 2003. Kumpulan ini memuatkan juga sajak-sajak hasilan para penyair yang membicarakan khusus tentang kepenyairan Leo A.W.S. Tidak ketinggalan dimuatkan sajak ringkas Nassury Ibrahim di halaman vii yang berjudul 'Pohon Puisi Leo.'   


BISIKAN 7

ANTOLOGI SAJAK Bisikan 7 diterbitkan oleh Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA) tahun 2009. Antologi yang memuatkan sajak-sajak yang dihasilkan oleh 52 orang penyair dari serata tanah air telah diselenggarakan oleh Zulkifli Mohd Zin dan Rogayah Abbas. Dua buah sajak Nassury Ibrahim telah dipilih, iaitu berjudul 'Mengenang Tsunami' di halaman 66 dan 'Khidmat Bahasaku' di halaman 67. 

Isnin, 11 Januari 2010

MANUSKRIP LUKA BANGSA

MANUSKRIP LUKA BANGSA ialah sebuah antologi sajak yang merakam rasa hati para penyair tanah air terhadap usaha 'meminggirkan' bahasa ibunda daripada arus perdana sistem pendidikan negara oleh sebilangan para pemimpin atasan Barisan Nasional dan NGO tertentu. Antologi terbitan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) ini adalah sempena Seminar Persuratan dan Peradaban Nasional pada 4 - 6 Ogos 2006 di Port Dickson, Negeri Sembilan. Terdapat sebanyak 73 buah sajak yang digarap oleh 58 orang penyair Malaysia dari generasi lama dan baharu. Tiga buah sajak Nassury Ibrahim telah dipilih, iaitu 'Masyarakat Kitul' di halaman 54, 'Anak Merdeka' (55), dan sajak 'Bukit Bahasa' (56).

Ahad, 10 Januari 2010

MUTIARA DI PUNCAK

ANTOLOGI CERPEN yang berjudul Mutiara di Puncak ini telah diselenggarakan oleh Roshani Abdullah, Shamsudin Othman, dan Maniyamin Ibrahim, telah diterbitkan oleh peserta Kursus Sijil Perguruan Khas (kumpulan Sastera) ambilan Januari 1994 dengan kerjasama Jabatan Bahasa Melayu Lanjutan, Institut Bahasa, Kuala Lumpur (kini IPGKBM) pada tahun 1994. Terdapat 17 buah cerpen yang digarap oleh 17 orang penulis yang baharu berjinak-jinak dalam bidang penulisan. Sebuah cerpen Maniyamin Ibrahim (Nassury Ibrahim) berjudul 'Namaku Dang Marziah' turut dipilih dan termuat di halaman 11 - 18.

KUMPULAN SAJAK PETA PERJALANAN

Kumpulan sajak Peta Perjalanan diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dengan kerjasama Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) pada tahun 2013. Kumpulan ini pernah diterbitkan oleh Persatuan Bahasa dan Budaya, Maktab Perguruan Tuanku Bainun tahun 2006. Kumpulan sajak pernah memenangi Hadiah Sastera Darul Iman 3 (ASDI 3) tahun 1995. Penyertaan terbuka kepada seluruh warga Nusantara yang menggunakan bahasa Melayu. Sebanyak 67 manuskrip diterima. Satu manuskrip diisytiharkan sebagai pemenang Hadiah Utama, manakala lima lagi (termasuk kumpulan Sajak Peta Perjalanan) memenangi Hadiah Penghargaan.


Khamis, 7 Januari 2010

PELAYARAN

PELAYARAN merupakan antologi sajak terbitan Gabungan Penyair Remaja Intan (Gapri) ke-8. Antologi ini diselenggarakan oleh Awang Abdullah, Guru Penasihat dan Pengasas Gapri. Antologi yang diterbitkan pada tahun 1990 ini dilancarkan sempena Hari Perkampungan Puisi Remaja Pantai Timur yang berlangsung pada 27 - 28 Disember 1990 di SMK Tengku Intan Zaharah, Dungun. Sebuah sajak Nassury Ibrahim yang berjudul 'Di Tanah Ini, Anak' telah terpilih dan dimuatkan di halaman 30. 

 

WARTA KALAM BIL.1

WARTA KALAM BIL.1 merupakan penerbitan tidak berkala oleh Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM). Warta ini diterbitkan sempena Mesyuarat Agung KALAM kali keenam pada 21 November 1998 di Sudut Penulis DBPKL. Dalam mesyuarat ini, Maniyamin Ibrahim telah dipilih sebagai Pemeriksa Kira-Kira bagi sesi 1998/1999. Selain memuatkan senarai aktiviti KALAM, Warta Kalam ini juga turut memuatkan dua buah sajak Nassury Ibrahim, iaitu berjudul 'Khalifah' di halaman 6, dan 'Dalam Hidup Ini' di halaman 7. Juga dimuatkan sebuah Mapen berjudul 'Keranda' karya Muhd. Nasruddin Dasuki' di halaman 8 - 12.

GEMA MEMBELAH GEMA 12

GEMA MEMBELAH GEMA 12 merupakan antologi sajak yang diterbitkan sempena Hari Puisi Nasional Keempat Belas yang berlangsung di Seremban pada 29 - 31 Januari 1999. Antologi yang diselenggarakan oleh Hamzah Hamdani ini memuatkan 99 buah sajak garapan 99 orang penyair Malaysia dari generasi lama dan baharu. Salah sebuah daripadanya ialah sajak garapan Nassury Ibrahim yang berjudul 'Gadis Dakwah' termuat di halaman 86.

GEMA MEMBELAH GEMA 11

GEMA MEMBELAH GEMA 11 merupakan sebuah antologi sajak yang diterbitkan sempena Hari Puisi Nasional Ketiga Belas yang berlangsung di Johor Bahru pada tahun 1994. Antologi yang diselenggarakan oleh Hamzah Hamdani ini merakamkan 68 buah sajak daripada suara 68 orang penyair Malaysia, lama dan baharu. Sebuah sajak Nassury Ibrahim yang berjudul 'Sajak Segerombolan Manusia kepada Manusia Lain' telah dipilih dan dimuatkan di halaman 71 - 72.

TANAH DUSUN

TANAH DUSUN merupakan antologi cerpen yang diselenggarakan oleh Amiruddin Ali dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, pada tahun 1994. Terdapat 19 orang pengarang dan 19 buah cerpen dimuatkan. Kecuali A. Rahmad, kebanyakannya pengarang muda yang mula mencipta nama dalam persuratan tanah air. Cerpen Nassury Ibrahim yang terpilih berjudul 'Dialog Sebelum Tidur' di halaman 133 - 140. 

ANALISIS KESILAPAN EJAAN BAHASA MELAYU

Analisis Kesilapan Ejaan Bahasa Melayu: Satu Kajian Kes ialah sebuah buku yang memuatkan kajian ringkas tentang kesilapan penggunaan bahasa dalam kalangan pelajar lepasan SPM yang memilih bidang perguruan. Kajian ini diusahakan atas nama Maniyamin Bin Haji Ibrahim bersama-sama dengan Encik Ahmad Rasol Bin Ariffin semasa kami berkhidmat di Institut Perguruan Tuanku Bainun (kini IPGKTB) dan diterbitkan oleh Jabatan Pengajian Melayu, IPTB tahun 2007.                                          


HIJRAH

ANTOLOGI SAJAK berjudul Hijrah ini diterbitkan oleh PELITA Sudut Daerah Dungun pada tahun 1984, dan diselenggarakan oleh Awang Abdullah dan Moharani Tanusi. Terdapat sebanyak 51 buah sajak bersifat kerohaniah yang dihasilkan oleh 39 orang penyair dari Terengganu dan Kelantan. Sajak Nassury Ibrahim berjudul 'Salam untuk Kekasih' telah dimuatkan di halaman 16.                   

DUNGUN

DUNGUN merupakan antologi sajak yang diselenggarakan oleh Mohammad Haji Abdul Rahman (Moharani Tanusi), diterbitkan oleh PELITA Sudut Daerah Dungun, pada tahun 1983. Sebuah sajak Nassury Ibrahim (menggunakan nama Maniyamin Ibrahim) dimuatkan berjudul 'Harapan' pada halaman 29. Antologi DUNGUN diterbitkan secara stesilan merupakan buku kedua yang memuatkan sajak saya setelah antologi Kuala.

ULASAN & SOAL-JAWAB KOMSAS

BUKU ulasan & Soal-Jawab KOMSAS Antologi Sehijau Warna Daun & Novel Aku Anak Timur diterbitkan oleh Fajar Bakti Sdn. Bhd pada tahun 2003. Diusahakan atas nama Maniyamin Haji Ibrahim bersama-sama dengan Naapie Mat. Keluaran edisi kedua, 2007, telah ditambah seorang lagi pengarang, iaitu Wan Norlidza Wan Mohd. Zain.

Rabu, 6 Januari 2010

POHON BARAKAH

POHON BARAKAH (Antologi 100 Puisi Bertema Islam) diselenggarakan oleh Abdulhadi Muhamad dan diterbitkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Kelantan Darul-Naim. Buku cetakan tahun 1991 ini memuatkan 100 buah sajak hasil karya 45 orang penyair. Sajak-sajaknya memperlihatkan cetusan rasa para penyair terhadap ajaran agama. Terdapat tiga buah sajak Nassury Ibrahim dimuatkan dalam antologi ini, iaitu 'Kecilpun Terasa di Titik Kehidupan' di halaman 64, 'Angin' (65) dan 'Salam untuk Kekasih' (66).


RUMPUN KITA

RUMPUN KITA  merupakan antologi sajak yang disusun oleh Shamsudin Othman, Rahimidin Zahari, Mohamad Saleeh Rahamad dan S.M. Zakir. Diterbitkan oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) pada tahun 2009. Penerbitan antologi ini adalah sempena Pertemuan Penyair Nusantara Ke-3, di Kuala Lumpur tahun 2009, dan memuatkan sajak-sajak yang dihasilkan oleh para penulis dari Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura dan Thailand. Terdapat sebuah sajak Nassury Ibrahim dimuatkan dalam antologi ini, iaitu berjudul 'Dari Laut Selat Tebrau' di halaman 46.   

Selasa, 5 Januari 2010

BEGINI RUPANYA

ANTOLOGI CERPEN DAN SAJAK berjudul Begini Rupanya memuatkan cerpen dan sajak yang dihasilkan oleh para penulis yang pernah belajar di SITC/MPSI/IPSI. Antologi ini diselenggarakan oleh Othman Puteh dan Rahman Shaari, dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, tahun 1993. Terdapat 38 orang penulis cerpen, dan 35 orang penulis sajak. Terdapat sebuah sajak Nassury Ibrahim, iaitu berjudul 'Sajak Segerombolan Manusia kepada Manusia Lain' dimuatkan di halaman 585. Walau bagaimanapun, ada dua rangkap yang terakhir, nama tempat (London) dan tarikh adalah bukan kepunyaan Nassury Ibrahim.

SEMBILU HUJAN-MU

ANTOLOGI SAJAK ini, Sembilu Hujan-Mu, diterbitkan sempena 10 tahun usia Gabungan Penyair Remaja Intan (Gapri), diterbitkan oleh Gapri tahun 1993, dan diselenggarakan oleh Awang Abdullah. Antologi ini memuatkan sajak-sajak yang dihasilkan oleh ahli Gapri lama dan baharu. Nassury Ibrahim merupakan ahli Gapri pengasas, 22 Jun 1983. Sebuah sajak Nassury Ibrahim yang dimuatkan dalam antologi ini berjudul 'Setelah Semua Berlalu' terdapat di halaman 36.

WARNA KEMESRAAN

WARNA KEMESRAAN merupakan sebuah kumpulan sajak yang dihasilkan oleh penulis-penulis yang bermastautin di Terengganu, dan diterbitkan oleh Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) tahun 1986. Antologi ini diselenggarakan oleh Sharif Putera dan  Moharani Tanusi. Terdapat dua bahagian, iaitu bahagian SATU memuatkan sajak-sajak yang dihasilkan oleh penyair Terengganu yang sudah mantap, manakala bahagiaan DUA memuatkan sajak-sajak dihasilkan oleh penulis muda yang sedang digilap bakatnya. Sajak Nassury Ibrahim termuat dalam bahagian DUA, iaitu berjudul 'Keris atau Seorang Raja Purba' di halaman 51, dan sajak 'Duka Pelaut Timur' (halaman 52).  

SUMPAH SETIA BAHASA

ANTOLOGI PUISI Sumpah Setia Bahasa memuatkan sajak-sajak yang khusus membicarakan tentang bahasa Melayu, sebagai lambang perjuangan para penulis memartabatkan bahasa Melayu Malaysia yang diancam PPSMI janaan Dr. Mahathir Mohamed. Antologi terbitan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) ditaja oleh Rhythm Consolidated Berhad dicetak tahun 1999, diselenggarakan oleh Rejap F.I. Terdapat sebanyak 132 buah sajak yang digarap oleh 82 orang penulis rakyat Malaysia. Sajak Nassury Ibrahim berjudul O.T. Dussek terdapat di halaman 152.  

GEMA MEMBELAH GEMA 10

GEMA MEMBELAH GEMA 10 merupakan antologi sajak sempena Hari Puisi Nasional Kedua Belas yang berlangsung di Pulau Pinang pada tahun 1991. Penerbitannya diselenggarakan oleh Hamzah Hamdani, memuatkan 52 buah sajak yang dihasilkan oleh penyair lama dan baharu. Sebuah sajak Nassury Ibrahim berjudul 'Puisi yang Aku Tanam' dimuatkan di halaman  49. 

JURNAL BAHASA

JURNAL BAHASA jilid5 bilangan 4 Disember 2005 diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Dalamnya terdapat satu artikel berjudul 'Pengkonsepsian dan Pemetaforaan "Hati" ditulis oleh Imran Ho-Abdullah, dan Norsimah Mat Awal di halaman 1 - 22. Pada halaman 7, pengarang telah membahaskan pandangan saya tentang hati, iaitu "Maniyamin (1998) memberikan satu lagi penjelasan tentang mengapa hati dikaitkan dengan emosi manusia. Menurut Maniyamin, world view Melayu tentang hati mempunyai kaitan dengan ajaran Islam yang dianuti mereka. Beliau telah merujuk kepada Surah al-A'raf, ayat 179 dan al-Baqarah ayat 7 yang kedua-duanya menyebut tentang (quluubun) sebagai sumber akal penaakulan dan tindak-tanduk manusia. Dalam terjemahan ayat ini, sering kali kata hati digunakan sebagai terjemahan untuk (quluubun). Maka, berdasarkan terjemahan, hati dilihat sebagai sumber penting untuk memahami perasaan dan tindak-tanduk manusia. Namun, penjelasan Maniyamin ini mungkin tidak begitu tepat. Ini kerana kata asal dalam bahasa Arab, (quluubun) merujuk kepada organ jantung (qalb) yang diterjemahan sebagai heart dalam terjemahan Inggeris tetapi hati dalam terjemahan Melayu). Maka, hujah dan penjelasan bahawa penggunaan organ hati (dan bukan jantung) sebagai yang mengawal tindakan dan kefahaman manusia menjadi titik tolak kepada kepercayaan agama tidaklah begitu kukuh."    


RETROSPEKSI


RETROSPEKSI merupakan antologi 55 buah sajak yang dihasilkan oleh 11 orang pelajar tahun pertama ambilan sesi 2012/2013, Ijazah Sarjana Muda Penulisan Kreatif di Akademik Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), khususnya yang mengambil kursus penulisan. Antologi ini telah diselenggarakan oleh Hafiz Latif dan Sayidah Mu'izzah, diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) tahun 2013. Dalamnya terdapat lima sajak yang dihasilkan oleh anak sulung Nassury Ibrahim, bernama Nur Syuhada. Sajak-sajak tersebut ialah 'Aku di Sini' di halaman 65, 'Petanda' (66),  'Puteri Nur Aisyah' (67), 'Rumah Itu' (68) dan 'Sajak kepada Adam' (69).



PARADIGMA 5

JURNAL PARADIGMA bilangan 5 jilid 5 tahun 2005, terbitan Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Profesionalisme Perguruan (R&D), Institut Pendidikan Guru Kampus Tuanku Bainun.  Terdapat 14 buah artikel ilmiah dihasilkan oleh para pensyarah IPGKTB. Salah satunya, artikel dihasilkan oleh Maniyamin bin Haji Ibrahim @ Nassury Ibrahim yang berjudul 'Pulau Pinang dalam Tamadun Orang Selat Malaysia dan Arus Globalisasi Dunia' terdapat di halaman 88 - 95.

HAYAT KEMERDEKAAN

HAYAT KEMERDEKAAN ialah antologi sajak diterbitkan oleh Gabungan Penyair Remaja Intan (GAPRI) dan PELITA Sudut Dungun, tahun 1991. Antologi yang diselenggarakan oleh Awang Abdullah dan Abdul Rahman Husin memuatkan sajak-sajak ahli semasa GAPRI (11 orang), sajak-sajak ahli PELITA (16 orang), dan sajak-sajak penyair jemputan (13 orang). Sajak Nassury Ibrahim berjudul 'Jeram' termuat di halaman 40. 

GEMA MEMBELAH GEMA 15

Antologi sajak GEMA MEMBELAH GEMA 15 diterbitkan sempena Hari Puisi Nasional Ke-17 yang berlangsung di Melaka pada tahun 2007 dan diterbitkan oleh Gapena. Antologi ini diselenggarakan oleh Amiruddin Md Ali Hanafiah dan Hamzah Hamdani, memuatkan 79 buah sajak yang dihasilkan oleh 79 orang penyair Malaysia, lama dan baharu. Sajak Nassury Ibrahim yang berjudul 'Seloka Nasib Melayu' (Versi Dewan Sastera) terdapat di halaman 66. 

GEMA MEMBELAH GEMA 14

GEMA MEMBELAH GEMA 14 diterbitkan sempena Hari Puisi Nasional Ke-16 yang berlangsung di Selangor Darul Ehsan pada tahun 2004. Antologi ini diselenggarakan oleh Amiruddin Ali dan Hamzah Hamdani, diterbitkan oleh Gapena tahun 2004. Terdapat 75 buah sajak yang dihasilkan oleh 75 orang penyair lama dan baharu dengan pelbagai tema dan gaya pengucapan. Sajak Nassury Ibrahim berjudul 'Bintang' di halaman 58.

GELODAK

Atas daya usaha Dinsman dan Razali Endun sebagai penyelenggara, antologi sajak Gelodak berjaya diterbitkan pada tahun  2003. Antologi sajak oleh 20 orang penyair ini telah diberikan kata pengantar oleh T. Alias Taib dan diterbitkan oleh oleh Badan Penulis & Karyawan Kreatif (Pikir). Terdapat tiga buah sajak Nassury Ibrahim dipilih, iaitu 'Lelaki dari Tanah Emas' di halaman 74, 'Kita Tidak Lagi Punya Cinta' di halaman 75 dan 'Sajak Dari Rumah Hospital' di halaman 76.

GEMA MEMBELAH GEMA 9

ANTOLOGI SAJAK berjudul GEMA MEMBELAH GEMA 9 diselenggarakan oleh Hamzah Hamdani, diterbitkan sempena Hari Puisi Nasional Kesebelas di Terengganu. Terdapat sebanyak 56 buah sajak yang disumbangkan oleh 56 orang penyair lama dan baharu. Sajak Nassury Ibrahim berjudul 'Ini SITC' terdapat di halaman 48.

Isnin, 4 Januari 2010

KULIT KOTA

Antologi Kulit Kota memuatkan sajak-sajak yang dihasilkan oleh 10 orang penyair. Mereka terdiri daripada Aniza Rada (Nik Zaharah Raja Daud), Hanizan Haron, Hamilah Muhammad, L.C. Fang (Lau Chit Fang), Mat Latif Ali, Nassury Ibrahim, Wan Ahmad Ismail, Wan Roslina Wan Nawawi, Wan Zahari Ali, dan Zahari Abdul Rahman. Antologi ini diselenggarakan oleh Wan Zahari Ali dan cetakan pertama tahun 1986. Terdapat tujuh buah sajak Nassury Ibrahim, iaitu 'Ilusi kepada Izrail dari Seorang Bapak' di halaman 40, 'Puisi Rindu Seorang Kekasih' (41), 'Sajak Ikan Bilis: Satu Percakapan' (42), 'Seperti Sukan Lumba Lari' (43), 'Tiga Sajak Doa' (44), 'Tidak Mati' (45), dan 'Tuhan Itu Berkuasa' (46

JEJAK PENDIDIK

Antologi Jejak Pendidik memuatkan catatan pengalaman guru-guru, khususnya pensyarah IPGK Tuanku Bainun, diterbitkan pada tahun 2006. Catatannya disampaikan dalam separa fiksyen agar tidak menjemukan para pembaca. Saya bersama-sama 10 orang pensyarah diberikan tanggungjawab sebagai Sidang Redaksi, dan sekali gus mengedit karya. Catatan Nassury Ibrahim adalah berkenaan pengalaman benar sewaktu bertugas di MBS Kuala Lumpur. Judulnya, 'Markah' di halaman 58 - 60.

GURU WILAYAH (1993)


ANTOLOGI karya guru-guru Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang memenangi Sayembara Sastera Hari Guru Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, pada tahun 1993. Ada dua buah karya Nassury Ibrahim dimuatkan. Pertama, cerpen berjudul 'Pada Mulanya ...' yang memenangi tempat ketiga. Kedua, sajak yang berjudul 'Kuala Lumpur, Oh, Kuala Lumpur' yang memenangi hadiah ketiga. Antologi ini diterbitkan oleh JPWP, Kuala Lumpur.

PERSURATAN DAN PERADABAN NASIONAL

Antologi esei Persuratan dan Peradaban Nasional  diterbitkan oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)  tahun 2006. Memuatkan kertas kerja Seminar Persuratan dan Peradaban Nasional yang diadakan di Port Dickson pada 4 - 6 ogos 2006 anjuran PENA dan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Buku ini diselenggarakan oleh Mohamad Saleeh Rahamad, S.M. Zakir, dan Shamsudin Othman. Terdapat 26 esei/kertas kerja. Esei Nassury Ibrahim berjudul 'Menggali Keintelektualan Silam Membina Seni Masa Kini' dimuatkan di halaman 185 - 229.

BUDAYA SERUMPUN MENDEPANI GLOBALISASI

Antologi esei Budaya Serumpun Mendepani Globalisasi terbitan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) tahun 2007, telah diselenggarakan oleh Mohamad Saleeh Rahamat, Saifullizan Yahaya, Shamsudin Othman, dan S.M. Zakir. Buku ini diterbitkan sempena hasil kongres Sebudaya Serumpun pada 16 - 18 November 2007 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Terdapat 22 buah esei ilmiah oleh 22 orang penulis dari Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia. Esei Nassury Ibrahim berjudul 'Konsep Orang dalam Masyarakat Melayu' dimuatkan di halaman 420 - 433.     

PENULIS

Majalah Penulis keluaran Julai - September 1996 diterbitkan oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA). Terdapat dua buah esei, tiga buah sajak, sebuah cerpen, sebuah resensi buku, sebuah wawancara, empat dialog, dan diari PENA. Sajak Nassury Ibrahim berjudul 'Duka Sebuah Hutan' terdapat di halaman 25. 

ANTOLOGI PUISI PERMATA HATI

Antologi sajak Permata Hati telah diselenggarakan oleh Nassury Ibrahim dan Shamsudin Othman, telah diterbitkan oleh Akademik Pengajian Melayu, Universiti Malaya tahun 1997. Penerbitan antologi ini adalah cadangan Datuk Prof. Dr. Nik Safiah Karim. Sajak-sajaknya khusus membicarakan tentang bahasa Melayu, telah disumbangkan oleh 38 orang pelajar tahun dua, Rancangan Bahasa Melayu, sesi 1996/1997. Terdapat dua buah sajak Nassury Ibrahim, iaitu 'Tugu Suara' di halaman 33, dan 'Alkisah, Maka Tersebutlah Ceritera Hikayat 152 (2) di halaman 34.

KELAS INTERVENSI AWAL MEMBACA DAN MENULIS (KIA2M) DI SEKOLAH MURID ORANG ASLI

Buku kecil yang berjudul 'Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M) di Sekolah Murid Orang Asli' ini merupakan laporan program KIA2M yang dilaksanakan oleh Institut Perguruan Tuanku Bainun (sekarang IPG Kampus Tuanku Bainun). Nassury Ibrahim telah diberikan tanggungjawab sebagai Pelaksana Projek. Dalam buku setebal 26 halaman ini telah memuatkan tiga buah laporan berita ringkas oleh Nassury Ibrahim, iaitu 'Modul KIA2M IPTB 2006' di halaman 20, 'Kursus Pelaksanaan Modul Projek KIA2M IPTB' di halaman 21, dan 'Pensyarah IPTB Masuk Kampung Orang Asli' di halaman 22 - 23.

Ahad, 3 Januari 2010

GURU WILAYAH 1994

Antologi sajak, cerpen dan drama Guru Wilayah merupakan karya-karya yang pernah memenangi Sayembara Sastera Hari Guru Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1994, diterbitkan oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan. Terdapat sebanyak tiga buah cerpen, lapan buah sajak dan sebuah drama pentas. Cerpen Nassury Ibrahim berjudul 'Cerita Nona' telah memenangi Hadiah Sagu Hati dimuatkan di halaman 25 -29, manakala sajak 'Generasiku Bak Sebutir Permata Setiap Hari Kugosok, Tiba-tiba Terbetik Berita Permataku Itu Berkilauan Yang Lain Kilaunya' telah memenangi Hadiah Pertama dan dimuatkan di halaman 31. 

JURNAL AKADEMIK GIGIH

Jurnal Akademik Gigih, jilid 1 tahun 2009 telah diterbitkan oleh Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu, Kelantan. Terdapat 10 buah esei ilmiah yang ditulis oleh 10 orang pensyarah IPGKKB. Esei ilmiah Nassury Ibrahim berjudul 'Menjenguk Sajak-sajak dalam Kumpulan Sajak 'Waktu' dari Jendela Strukturalisme' dimuatkan di halaman 75 - 82.