Isnin, 15 Mei 2017

Dua Dekad Dia Dizalimi

Antologi Dua Dekad Dia Dizalimi menghimpunkan esei dan sajak yang khusus merakam atau dedikasi kepada bekas Timbalan Perdana Menteri yang dizalimi oleh dua orang Perdana Menteri. 

Antologi setebal 180 halaman ini dibahagi kepada dua bahagian, telah diterbitkan oleh Institut Darul Ehsan pada tahun 2017 dan diselenggarakan oleh Dinsman, Rozan Azen Mat Rasip dan Kamarulbahrin Zahid dan editornya Mohamed Nasser Mohamed.

Bahagian Pertama bertajuk Catatan Tentang DIA. Bahagian inimengandungi 15 buah esei yang ditulis oleh 14 orang pengarang. 

Manakala bahagian kedua pula bertajuk Puisi Tentang DIA mengandungi 68 buah sajak yang ditulis oleh 47 orang penyair. Antara 47 orang penyair itu, Nassury Ibrahim menyumbangkan sebuah sajak berjudul Tanda Bangsa Nak Hilang dimuatkan di halaman 143.

TANDA BANGSA NAK HILANG

Pukul gendang kulit biawak,
     rasa sayu di dalam hati;
hendak pertahan atau tidak,
     bahasa Melayu hendak mati.

Rasa sayu di dalam hati,
     terisak bunyi sedu-sedan;
bahasa Melayu hendak mati,
     tidak dipeduli anak watan.

Terisak bunyi sedu-sedan,
     burung Belibis terbang petang;
tidak dipeduli anak watan,
     mengejar pitis dari seberang.

Burung Belibis terbang petang,
     terbang bebas berkawan-kawan;
mengejar pitis dari seberang,
     anak terbiar tanpa didikan.

Terbang bebas berkewan-kawan,
     ikan pelaga dalam balang;
anak terbiar tanpa didikan,
     itu tanda bangsa nak hilang.

Khamis, 11 Mei 2017

Kajian Kumpulan Sajak Ruang Kota

Paparan berikut merupakan kajian yang dilakukan oleh Ruzy Suliza Hashim dan Fatin Nur Syahirah Faizal dari UKM terhadap sajak-sajak Nassury Ibrahim dalam kumpulan sajak Ruang Kota.

Kajian mereka bertajuk "Psychogeography of Kuala Lumpur in Nassury Ibrahim's Selected Poems" (Psikogeografi Kuala Lumpur dalam Puisi Nassury Ibrahim).

Tulisan tersebut telah disiarkan dalam Jurnal Malay Literature No. 2, 2016 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.



Antologi Bulan Muda di Puncak Siguntang: Antologi Pilihan Puisi Baru Melayu

Buku antologi sajak berjudul Bulan Muda di Puncak Siguntang: Antologi Pilihan Puisi Baru Melayu ini diterbitkan oleh Dream Eater Publishing tahun 2016. 

Antologi setebal 332 ini memuatkan sajak-sajak dalam dwibahasa, iaitu bahasa Cina dan bahasa Melayu, telah diselenggarakan oleh Chong Fah Hing. 

Tiga buah sajak Nassury Ibrahim yang dimuatkan dalam antologi ini ialah Keris atau Seorang Raja Purba (ms 229 - 230), Kata di Tanganmu (ms 231 - 232) dan Wanita Sejarah (ms 233 - 234).


KERIS ATAU SEORANG RAJA PURBA

Di bilik kaca
            sebuah rumah
akhirnya
            kutemui kau
            diam
tanpa istana tercinta
tanpa rakyat jelata
            akhirnya
 dalam bilik kaca
seorang raja purba
            sepi dan terasing.

KATA DI TANGANMU

Aku tahu kata di tanganmu
bukan kata di tanganku

kalau pisau katamu maka kataku tajamnya bukan senjata
kalau suara katamu maka kataku kiasnya bukan makna
kalau senyum katamu maka kataku mesranya bukan manis
kalau angin katamu maka kataku damainya bukan khabar
kalau api katamu maka kataku rasanya bukan panas
kalau isi katamu maka kataku zatnya bukan kenyang
kalau buku katamu maka kataku ilmunya bukan karya
kalau kepala katamu maka kataku mulianya bukan atas
kalau rasa katamu maka kataku benarnya bukan kata
kalau kata katamu maka kataku nilainya bukan sampai

kata adalah madu rahsia piala kehidupan di hayat usia
kata adalah pulau bahagia kekasih pelayaran di laut lelah
kata adalah merpati rasa rumah keakumuan di taman mesra

dia jambatan minda di laut kalbu tidak beriak
dia mata kuasa di lidah ilmu tidak berpijak
dia telinga rasa di medan makna tidak berkocak
di mana-mana di mana-mana
dia kata makhluk yang Satu

aku mahu kata di tanganku
adalah kata di tanganmu.


WANITA SEJARAH
(Mengenang Shamsiah Fakeh)

Hampir tenggelam dia menjadi fosil purba
sesekali diangkat Ogos jadi nasionalis bangsa

hampir sirna dia dalam debu masa
sesekali disapu media menghiasi nostalgia

hampir terputus dia daripada minda tinta
sesekali mengalir di kerongkong pensyarah

hampir berkarat dia di pulau fitnah penjajah
sesekali digilap Fatini dengan kiwi bangsa

hampir tenggelam dia wanita sejarah
tenggelam dalam antagonis wira merdeka.