Khamis, 1 Oktober 2015

Saya Mahu Menjadi Penulis Berjaya.

JENDELA TIMUR terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur cetakan April 2015.

JENDELA TIMUR bilangan 44 ini memuatkan sebuah artikel saya yang berjudul, "Saya Mahu Menjadi Penulis Berjaya."

Saya menyentuh beberapa ciri penulis berjaya yang perlu difahami oleh bakal penulis, di samping cara mendapatkan sumber idea dan proses kreatif.

Artikel ini sesuai untuk pelajar dan calon penulis. Sebenarnya, kepentingan artikel ini bukan sahaja kepada penulis dalam bidang kreatif, malahan juga dalam bidang deskriptif, dan sebagainya.

Selasa, 29 September 2015

Syair Persahabatan Dua Negara

Antologi puisi Syair Persahabatan Dua Negara ini memuatkan karya puisi yang dihasilkan oleh 100 orang penyair dari Indonesia (seramai 69 orang) dan Malaysia (seramai 31 orang). Masing-masing menyumbangkan dua buah karya.

Mereka terdiri daripada penyair veteran dan baharu.

Antologi setebal 313 halaman ini diterbitkan oleh Pustaka Senja, Yogyakarta, sempena Temu Sastera Indonesia-Malaysia 2015. 

Dua buah puisi karya saya yang dimuatkan dalam antologi ini ialah Mencari Bahagia (ms 267) dan Rahasia Pisau (ms 268).


  
MENCARI BAHAGIA

Mari kita bersila duduk
berhadap-hadapan lutut
berbincang mencari cara 
menjinak liar perasaan
agar angin kebencian itu
bertukar menjadi
bayu kemesraan

biarkan langit dengan
birunya warna
kita di taman ini bersahabat
dengan hijau kata

hidup ini seindah cinta
jika engkau dan aku
saling percaya
walau kita berlainan budaya.

3 Jun 2015


RAHASIA PISAU

Asal pisau dari besi terpateri
lahir dari mulut api
karat akalnya ditajamkan kikir
menumpang makan di dapur isteri

suatu malam saya bermimpi
si pisau itu merayu dikasihani
"Tolong berikan aku secebis dagingmu, tuan,
aku jemu diberikan sapi dan ikan."

aku terbangun mendengarnya
walau sekadar mimpi tak perlu dilayani
permintaan itu keterlaluan dan berbahaya
kepada seluruh alam seisi rumah saya.

16 Mei 2010.

Khamis, 23 Julai 2015

Di Hatyai, 2009


BH, 11hb Mei 2015


Seminar Pedagogi Sastera 2001

MANIYAMIN BIN IBRAHIM (NASSURY IBRAHIM) dari Methodist Boys School, Kuala Lumpur, bersama-sama dengan Mohd Fauzi bin Abdullah dari Institut Bahasa Melayu Malaysia (IBMM) dan Shamsudin bin Othman dari Sekolah Menengah Alam Shah berkolaboratif menghasil dan membentang kertas kerja yang bertajuk Teknik Pengajaran Puisi Tradisional dan Moden dalam Seminar Pedagogi Sastera 2001. Seminar anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Institut Bahasa Melayu Malaysia ini diadakan pada 11 - 13 Jun 2001 bertempat di Hotel Quality, Kuala Lumpur. Sebanyak lapan kertas kerja dibentangkan secara berkolaboratif oleh  21 orang penulis makalah. Manakala pesertanya seramai kira-kira 128 yang terdiri daripada guru-guru dari seluruh sekolah di Malaysia.

Sabtu, 27 Jun 2015

Jemari Angin

JEMARI ANGIN ialah antologi puisi hasil karya 56 penyair dari Terengganu. Antologi yang memuatkan 134 buah sajak ini diterbitkan oleh Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) pada 2015 dan diselenggarakan oleh Hilmi Rindu, Kamarulzaman Ismail dan Mahanie Sulong.

PELITA aktif menerbitkan karya ahli (baik puisi, cerpen, drama, dsb) sejak tahun 1960-an lagi.

Terdapat tiga buah puisi Nassury Ibrahim yang dimuatkan dalam antologi ini, iaitu sajak Kepala 5, Kepala 6, dan Banduan.

Sabtu, 6 Jun 2015

Dialog Borneo-Kalimantan Ke-12


Menyertai Dialog Borneo-Kalimantan Ke-12 pada 4 - 7 Jun 2015 di Institut Aminuddin Baki, Santubung, Sarawak. Tema: Kearifan Tempatan Penjana Peradaban Serantau.
 

Isnin, 25 Mei 2015

Kumpulan Puisi DONGENG BAPAK

Kumpulan puisi DONGENG BAPAK merupakan kumpulan puisi ketujuh hasil karya Nassury Ibrahim. Kumpulan ini memuatkan 101 buah sajak yang banyak membicarakan imej manusia Malaysia dan kepemimpinan pemimpin organisasi.

Sajak-sajaknya banyak mencatat kisah benar yang berlaku dalam masyarakat, dan bakal menjadi buku rakaman sejarah kepolitikan tanah air. 

Kumpulan DONGENG BAPAK diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) pada tahun 2014.

Gaya persembahan sajak-sajak dalam kumpulan ini berlainan daripada gaya persembahan kebanyakan sajak di pasaran.

Kumpulan Cerpen NARATIF JURNALIS

Kumpulan cerpen NARATIF JURNALIS (NJ) merupakan kumpulan cerpen pertama karya Nassury Ibrahim. NJ diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) tahun 2013. 

Terdapat 15 buah cerpen, iaitu Kerana Senyum di halaman 1, Misteri Gula (11), Gurkha (19), Shit (27), Merdeka Ayah Mat Tok Mek Minah (37), Cinta Karimun (47), Pak Mat Ditangkap Polisi (57), Gila Gelar (67), Tuan Besar Bos @ Kursus (71), Cahaya Rumah Pusaka (77), Pak Kaduk (89), Raja Sembur (99), Sial Kontrak (109), Suara Hantu (121), dan Kata YB (131). Sebanyak 11 buah cerpen pernah disiarkan dalam pelbagai media, manakala empat buah masih belum disiarkan di mana-mana media.

Sabtu, 14 Februari 2015

ANTOLOGI PUISI HARI PEJUANG BAHASA



ANTOLOGI PUISI HARI PEJUANG BAHASA diterbitkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) pada tahun 2010. 

Antologi setebal 121 halaman ini diselenggarakan oleh S.M. Zakir, Mattaib Nordin, Ja'afar Hj. Hamdan, dan Muhammad Ikhram Fadhly Hussin. Hari pejuang bahasa diisytiharkan pada 15 Februari. Tarikh ini diambil sempena nama 152.

Terdapat sekitar 90 orang penyairtelah menyumbangkan sajak untuk antologi ini. Sebuah sajak saya (Nassury Ibrahim) berjudul 'Lelaki Kita' telah dimuatkan dalam antologi ini di halaman 78. 

Sajak ini mengisahkan sikap paradoks tokoh pemimpin terhadap bahasa Melayu. Idea sajak ini diperoleh daripada pembacaan terhadap teks ucapan tokoh berkenaan.


Jumaat, 13 Februari 2015