Rabu, 28 Mei 2014

MENUNGGU ESOK TIBA

ANTOLOGI Menunggu Esok Tiba (MET) merupakan terbitan ulung Jabatan Pengajian Melayu, IPG Kampus Tawau, tahun 2014. Antologi ini telah diselenggarakan oleh Maniyamin bin Ibrahim (Nassury Ibrahim) yang juga bertugas sebagai Ketua Jabatan Pengajian Melayu (1 Februari 2013 - 15 Januari 2014) di IPGKT. MET memuatkan 21 buah sajak dan sembilan buah cerpen. Karya-karya tersebut dihasilkan oleh pensyarah, staf sokongan dan pelajar IPGKT yang pernah mengikuti bengkel bimbingannya. Sajak Nassury Ibrahim berjudul 'Sejarah' dimuatkan di halaman 17.

SUARA KITA: ANTOLOGI SERIBU SAJAK MERDEKA

ANTOLOGI SAJAK Suara Kita terbitan tahun 2013 merupakan antologi sajak paling tebal di Malaysia. Antologi ini dibahagikan kepada tujuh segmen berdasarkan kategori penyumbang, iaitu Segmen A: Tokoh Negara memuatkan tujuh buah sajak oleh lima orang penyumbang; Segmen B: Agamawan (11:3); Segmen c: Ahli politik (4:4); Segmen D: Anak Merdeka (6:5); Segmen E: Sasterawan/Penulis/Wartawan (396:142); Segmen F: Penyair dari Seberang (11:9); Segmen G: Mahasiswa/pelajar (278:201); Segmen H: Pegawai Kerajaan/pesara (229:126); Segmen I:  Saudagar/ahli korporat (12:05); dan Segmen J: Petani/suri rumah/pekerja (46:19). Keseluruhan sajak berjumlah 1,000 buah. Sajak Nassury Ibrahim berjudul 'Sayangi Bahasa' di halaman 367, 'Seloka Nasib Melayu' (368), 'Seloka Tentang Fiil yang Merugikan' (369); 'Setelah Sekian Tahun Merdeka' (370 - 372).           

Jumaat, 16 Mei 2014

SEGUGUS PASRAH BUATMU MH370

Antologi Puisi Segugus Pasrah Buatmu MH370, terbitan Bookdigital tahun 2014, merupakan himpunan 99 rasa para penyair dan rakyat Malaysia terhadap tragedi misteri kehilangan kapal terbang MAS, MH370 yang sehingga kini tidak dijumpai. Tragedi yang sangat misteri dan menyayat hati ini mendapat liputan seluruh negara, sekali gus memperlihatkan kerjasama erat 26 negara dengan Malaysia. Dalam antologi ini terdapat sebuah sajak yang ditulis oleh Nassury Ibrahim berjudul MH370 MAS. Sajak ini berusaha menghayati perasaan ahli keluarga para penumpang dalam kapal tersebut.