Khamis, 22 April 2021

Antologi Puisi Penyair Malaysia

Antologi puisi berjudul Yang Kaubunuh adalah Cinta diterbitkan oleh Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris pada tahun 2020. Antologi setebal 182 halaman ini diselenggarakan oleh Wacana Minda dan Norazimah Zakaria. Terdapat dua buah karya saya, iaitu Seloka tentang Pemimpin di halaman 108 dan sajak Di Bawah Pohon Kemboja di halaman 111.

 

 

SELOKA TENTANG PEMIMPIN

 

Ini seloka karangan fakir

suara batin dan juga zahir

ada sindir untuk difikir

kalau terkena janganlah kikir

kurang bercakap banyak berzikir

 

pemimpin itu orang berdarjat

sepatut malu bersikap ralat

sekelumit tetap rakyat lihat

jauhi rasuah walaupun lazat

diingati orang sampai akhirat

 

waktu kempen tabur janji

berbunga-bunga berseri-seri

rakyat dengar termimpi-mimpi

hujan ribut datang basahi

sanggup diam tak lari-lari

 

hati rakyat berasa lega

pemimpin datang berjanji jasa

kenduri lembu menyambut tiba

kali ini senang hidup kita’

besar hati tidak terkira

 

pemimpin bangga dapat undi

terus terlupa segala budi

tempat kempen merayu undi

Pak Mat, Ramasamy tak kenal lagi

durian Ah Ba tinggal duri

 

di kampung di pekan juga di kota

rakyat berbilang hidup derita

penat bersorak belumlah lega

datang pula cukai berniaga

Ah Long incame tax turut serta

 

di dalam tivi dan surat khabar

ada berita tak sanggup dengar

Si A tuduh Si B buat onar

mereka bergaduh saling mencemar

wartawan datang merakam dengar

 

korek di sana korek di sini

seperti PBT menggali bumi

mencari salah mencari bukti

hina-menghina turut sekali

konon tanda bangun negeri

 

harapan rakyat hidup sihat

hilang ghaib tidak bersurat

sayup-sayup  suara berkudrat

kesal pemimpin gila pangkat

seru bangkit kembali martabat

 

siapa bangkang akan diserang

dianggap ia sebagai petualang

soljar pasung keliling pinggang

buru rakyat berfikiran matang

di laut di darat di hutan cerang

 

aduhai pemimpin orang bistari

usah bersikap lupa diri

kuasa dan pangkat Tuhan beri

gunalah agar tidak dilaknati

aman makmur seluruh negeri

 

tersalah fikir tersalah hitung

kelak dirimu akan rentung

rakyat bangkit undi melantung

terbuang dirimu tiada beruntung

anak cucu turut menanggung

 

Demikian seloka fakir bina

banyak kata yang tidak kena

jangan marah jangan hina

ambil iktibar sebanyak mana

dekati bahagia jauhi bencana.

 

 

NASSURY IBRAHIM

 

DI BAWAH POHON KEMBOJA

 

Tak perlu berkunjung datang

ke ini perkampungan kami,

dari kejauhanmu itu

hulurkan saja kata-kata doa,

kata dari Kitab atau ingatan tuan

seikhlas hati

 

Hikmahnya tentu saja

untuk tuan juga

kerana kita datang

dari Yang Satu

dan pulang pun

kepada Yang Satu.

 

NASSURY IBRAHIM

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan