DOKUMENTASI KARYA NASSURY IBRAHIM
Menyimpan dan merakam karya-karya Nassury Ibrahim untuk rujukan pengkaji. Adalah diharapkan kepada semua pengkaji agar dapat memberikan satu salinan kepada saya sebagai simpanan dan rujukan. E-melkan ke alamat nassuryibrahim@gmail.com
Ahad, 10 Januari 2021
Selasa, 20 Oktober 2020
Khamis, 26 September 2019
Seminar Pedagogi dan Inovasi Kebangsaan
Pada 23 - 24 September 2019, Kementerian Pendidikan Malaysia menganjurkan Seminar Pedagogi dan Inovasi Kebangsaan sempena Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan di IPG Kampus Bahasa Melayu. Antara programnya ialah seminar Pedagogi, Pertandingan Inovasi, Bengkel Menulis Anekdot, pameran dan jualan. Aku fikir program seperti ini patut diteruskan dan menjadikan aktiviti tahunan.
Isnin, 29 Oktober 2018
Khamis, 25 Oktober 2018
F8
Pada 10 - 14 seramai aku dan 17 orang ahli Pena dan bukan ahli telah menyertai Makassar Internasional Eight Festival & Forum (F8). Ia berlangsung di sepanjang Pantar Losari sejauh 1,7 kilometer.
Kami hadiri untuk acara sastera. Sebuah antologi sajak telah diterbitkan
Festivalnya sungguh meriah dan begitu ramai pengunjung. Ada tiga pentas dan persembahan berjalan serentas.
F8 ini turut disertai oleh beberapa negara asing seperti Amerika, Korea, Australia, Britain, Jepun, Belanda, dan lain-lain. Namun, tidak ada wakil konsulat dari Malaysia, Singapura dan Brunei. Malah, bendera tiga negara ini juga tidak dipasang di pentas utama.
Pada malam kedua, Pena telah menyampaikan sumbangan untuk mangsa gempa bumi dan tsunami di Palu sebanyak RP38 juta dan disampaikan kepada Wali Kota Makassar.
Antologi Mencari Kesumba di Pustaka Babel
Antologi setelah 287 halaman ini memuatkan karya-karya yang mendapat Hadiah Sastera Darul Iman (Hasdi 3) tahun 2017. Memuatkan 12 buah sajak, 13 buah cerpen, satu drama pentas, empat buah esei sastera, dan dan satu karya penulis berusia 21 tahun ke bawah.
Bagi setiap genre di atas dimuatkan juga laporan panel penilai.
Karya-karya yang dipetandingkan ialah karya yang tersiar sekitar tahun 2015 dan 2016 di pelbagai media.
Antologi berwarna merah ini diselenggarakan oleh Abdul Mubin Ismail dan terbit tahun 2018.
Terdapat sebuah sajak Nassury Ibrahim, iaitu berjudul Mencari Kesumba dimuatkan di halaman 21. Sajak ini pernah tersiar di akhbar BH, 29 November 2015.
MENCARI KESUMBA
Kupilih kesumba Johor
kerana berani
kupilih kesumba Kelantan
kerana rakyat
kupilih kesumba Selangor
kerana darah
kupilih kesumba Kedah
kerana warisan
kata Swettenham
kesumba warna pahlawan
warna laksamana wayang
maka kupilih kesumba diriku
yang berani yang rakyat
yang darah yang warisan
kupilih kesumba diriku
yang pahlawan
untuk engkau warisi
kesejahteraan watan.
BH, 29 November 2015
Jumaat, 18 Mei 2018
Bianglala Melukis Syurga

Antologi yang diselenggarakan oleh Mohamad Saleeh Rahamad dan Rozlan Mohamed Noor ini memuatkan sekitar 140 orang penyair Malaysia dan 147 buah sajak yang pelbagai latar dan pemikiran.
Sebuah sajak Nassury Ibrahim berjudul 'Aku Generasi Zaman Baharu' dimuatkan dalam halaman 110 daripada 196 halaman penuh.
AKU
GENERASI ZAMAN BAHARU
Aku generasi zaman baharu
tak kenal keris, tombak, atau peluru
pun senapang, pistol atau mortal
meredah hutan ideologi memburu seteru
dia petualang atau komunisme ratu
aku lihat Ogos segak bersemangat
membawa panji-panji kesetiaan adat
gagah menjunjung cinta kemenangan
warna-warni rakyat merai kedamaian
aku menatap berita kepala akhbar
mereka berbicara tentang perjuangan
sengsara hidup merana menderita
di sangkar rumah penjajahan kuasa
kini terlipat dalam kertas sejarah
aku tak pernah menderita dijajah
amat perit mendengar nenek moyang berkisah
berbari berdogeng juga bermitos
tentang British dan Belanda
tentang Jepun dan Bintang Tiga
mereka ini kawan-kawanku
sekuliah seganding ilmu
semara searah tuju
aku generasi zaman baharu
hidup tak pernah memburu seteru
di sekeliling ibu ayah pemimpin
bercakaran berebutan piala kuasa,
apakah ini generasi merdeka
atau mereka warisan penjajah?
aku tak pernah berkelahi berebut kerusi
menuding menuduh memfitnah jauh sekali
itu Mandaliar bersikitul diri
hulu Tamingsari raja bernegeri
jangan batu berputih kembali.
betapa aku tak
pernah berjuang
sebutir pun tidak
batu kehilangan tuan
seperti itu cinta
di tanah pahlawan
kokok
berderai-derai
bisu di
pertengahan jalan!
aku generasi
zaman baharu
suara dan hati
cintaku satu
di ini tanah
berwalang seribu.
31 Julai 2008
Puisi Hati Penyair Kelantan
2 SAJAK PEDIH
Sajak 1: Kata Jatuh
Kalau rasamu luka
ambillah pedih itu.
Sajak 2: Kata Bangun
Ambillah aku
betapa pedih itu
bukan milikmu.
KATA SENI MELAYU
Cantik pinggan itu
bukan kerana Melamnine
cantik pinggan itu
kerana bentuk dan bunga
Batapa cantik pinggan Melayu
bukan kerana bentuk dan bunga
cantik pinggan Melayu
kerana nasi-nasi di atasnya
ya, dengan nasi-nasi itu
dapat aku sempurnakan
engkau seorang khalifah
dapat aku sempurnakan
engkau hamba Allah.
Khamis, 17 Mei 2018
Pelangi Merentasi Buana
Terdapat 107 buah sajak yang ditulis oleh penyair dari India, Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand dan diselenggarakan oleh Mohamad Saleeh Rahamad dan Dr. Krishanan Maniam.
Antologi ini diterbitkan dalam dwibahasa, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Tamil. Terdapat sebuah sajak Nassury Ibrahim di halaman 148 berjudul Batu Kota.
BATU KOTABatu-batu tumbuh inihadiah pemikir saktibatu-batu teguh inisumbangan pejuang sucianakkujagalah warisan inidaripada pemikir saktipeliharalah keteguhan inidaripada pejuang sucianakkuhiduplah serasa dukameski berlainan rupahiduplah serasa riameski berlainan percayabatu-batu tumbuh inihadiah pemikir saktibatu-batu teguh inisumbangan pejuang suci.
Rabu, 20 September 2017
Seminar Internasional Sastera Lisan
Pada malamnya, aku ke Medan Mall Plaza untuk membeli buku di kedai Gramedia. Malangnya, kedai berkenaan tidak beroperasi lagi. Namun, terdapat kedai baharu bernama Toko Buku Aristotle.
Pada 14 September, kami mengikuti Seminar Internasional Sastera Lisan. Pada malamnya kami menyaksi persembahan syair oleh perwakilan Malaysia, Encik Roslan Madun dan rakan-rakan, di RRI. Wartawan RRI meminta aku beri pandangan akan aktiviti berkenaan. Aku memberitahu bahawa penganjuran aktiviti ini bagus kerana (1) mendedahkan aktiviti bersyair kepada generasi baharu, (2) mengeratkan jalinan hubungan persahabatan rakyat di negara yang terlibat, dan (3) boleh menarik minat generasi baharu terhadap aktiviti bersyair.
Sekitar jam 8.00 pagi pada 15 September kami menziarahi sepupu Encik Mohd Fauzi yang baru seminggu mendaftar belajar di Universitas Islam Negeri Sumatera Utara di Pancing. Pada mulanya kami ke Universitas Islam Sumatera Utara di Kota Medan kerana menyangka di situlah tempatnya. Kemudian, kami menaiki ojek ke Pancing. Selain UINSU, di sekitar Pancing terdapat Universitas Sumatera Medan, dan Universitas Amir Hamzah. Seterusnya, kami ke Toko Buku Gramedia di Jalan Gogja. Sekitar jam 3.00 kami ke RRI menyaksi persembahan bangsawan oleh perwakilan Singapura.
Pagi 16 September, kami membeli-belah di pasar buku terpakai di Titi Gantung dan Pajak Ikan. Kami pulang ke Malaysua sekitar jam 5.00 petang bersama-sama rombongan Roslan Madun, menaiki AirAsia. SN Dato' Dr Zurinah Hassan menaiki Mas.
Khamis, 6 Julai 2017
Jumaat, 16 Jun 2017
Perayaan Ulang Tahun Ke-5 Gapri
Bermula Julai 1987 aku mendaftar diri di Ipsi (UPSI)mengambil kursus PSM:SJ/PS. Surat ini memohon aku menyiapkan kumpulan puisi pertama aku dan kumpulan puisi pertama perseorangan yang diterbitkan oleh Gapri. Status aku ialah Gapri Tua.
Isnin, 15 Mei 2017
Dua Dekad Dia Dizalimi

Antologi setebal 180 halaman ini dibahagi kepada dua bahagian, telah diterbitkan oleh Institut Darul Ehsan pada tahun 2017 dan diselenggarakan oleh Dinsman, Rozan Azen Mat Rasip dan Kamarulbahrin Zahid dan editornya Mohamed Nasser Mohamed.
Bahagian Pertama bertajuk Catatan Tentang DIA. Bahagian inimengandungi 15 buah esei yang ditulis oleh 14 orang pengarang.
Manakala bahagian kedua pula bertajuk Puisi Tentang DIA mengandungi 68 buah sajak yang ditulis oleh 47 orang penyair. Antara 47 orang penyair itu, Nassury Ibrahim menyumbangkan sebuah sajak berjudul Tanda Bangsa Nak Hilang dimuatkan di halaman 143.
TANDA BANGSA NAK HILANGPukul gendang kulit biawak,rasa sayu di dalam hati;hendak pertahan atau tidak,bahasa Melayu hendak mati.Rasa sayu di dalam hati,terisak bunyi sedu-sedan;bahasa Melayu hendak mati,tidak dipeduli anak watan.Terisak bunyi sedu-sedan,burung Belibis terbang petang;tidak dipeduli anak watan,mengejar pitis dari seberang.Burung Belibis terbang petang,terbang bebas berkawan-kawan;mengejar pitis dari seberang,anak terbiar tanpa didikan.Terbang bebas berkewan-kawan,ikan pelaga dalam balang;anak terbiar tanpa didikan,itu tanda bangsa nak hilang.
Khamis, 11 Mei 2017
Kajian Kumpulan Sajak Ruang Kota

Kajian mereka bertajuk "Psychogeography of Kuala Lumpur in Nassury Ibrahim's Selected Poems" (Psikogeografi Kuala Lumpur dalam Puisi Nassury Ibrahim).
Tulisan tersebut telah disiarkan dalam Jurnal Malay Literature No. 2, 2016 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Antologi Bulan Muda di Puncak Siguntang: Antologi Pilihan Puisi Baru Melayu
Antologi setebal 332 ini memuatkan sajak-sajak dalam dwibahasa, iaitu bahasa Cina dan bahasa Melayu, telah diselenggarakan oleh Chong Fah Hing.
Tiga buah sajak Nassury Ibrahim yang dimuatkan dalam antologi ini ialah Keris atau Seorang Raja Purba (ms 229 - 230), Kata di Tanganmu (ms 231 - 232) dan Wanita Sejarah (ms 233 - 234).
KERIS ATAU SEORANG RAJA PURBA
Di bilik kaca
sebuah rumah
akhirnya
kutemui kau
diam
tanpa istana tercinta
tanpa rakyat jelata
akhirnya
dalam bilik kaca
seorang raja purba
sepi dan terasing.
KATA DI TANGANMU
Aku tahu kata di tanganmu
bukan kata di tanganku
kalau pisau katamu maka kataku tajamnya bukan senjata
kalau suara katamu maka kataku kiasnya bukan makna
kalau senyum katamu maka kataku mesranya bukan manis
kalau angin katamu maka kataku damainya bukan khabar
kalau api katamu maka kataku rasanya bukan panas
kalau isi katamu maka kataku zatnya bukan kenyang
kalau buku katamu maka kataku ilmunya bukan karya
kalau kepala katamu maka kataku mulianya bukan atas
kalau rasa katamu maka kataku benarnya bukan kata
kalau kata katamu maka kataku nilainya bukan sampai
kata adalah madu rahsia piala kehidupan di hayat usia
kata adalah pulau bahagia kekasih pelayaran di laut lelah
kata adalah merpati rasa rumah keakumuan di taman mesra
dia jambatan minda di laut kalbu tidak beriak
dia mata kuasa di lidah ilmu tidak berpijak
dia telinga rasa di medan makna tidak berkocak
di mana-mana di mana-mana
dia kata makhluk yang Satu
aku mahu kata di tanganku
adalah kata di tanganmu.
WANITA SEJARAH
(Mengenang Shamsiah Fakeh)
Hampir tenggelam dia menjadi fosil purba
sesekali diangkat Ogos jadi nasionalis bangsa
hampir sirna dia dalam debu masa
sesekali disapu media menghiasi nostalgia
hampir terputus dia daripada minda tinta
sesekali mengalir di kerongkong pensyarah
hampir berkarat dia di pulau fitnah penjajah
sesekali digilap Fatini dengan kiwi bangsa
hampir tenggelam dia wanita sejarah
tenggelam dalam antagonis wira merdeka.
Khamis, 16 Februari 2017
ANTOLOGI 'PAHLAWAN'
Buku setebal 208 halaman ini ditulis oleh Encik Nordin bin Ahmad, Encik Mohd. Paris bin Arshad, Encik Mohammed Mokhtar bin Awang, Encik Kamarudin bin Mahidin, Puan Zaleha bt. Yahya, Encik Zainol Abidin bin Hazim, Encik Meor Ismail bin Ahmad Hassan, Encik Ahmad bin Uda, Encik Chai Loon Guan, Encik Maniyamin bin Ibrahim (Nassury Ibrahim), Encik Zambri bin Abdul Rahman, Encik Baharuddin bin Hamzah, Cik Thuwabatul Islamiyah bt. Zainal Abidin, Encik Termizi bin Isa, Encik Hawari bin Che Teh, Encik Mohammed bin Haji Ibrahim, Juniah bt. Husin, dan Encik Mahmud bin Hassan.
BUNGA DI ATAS PUSARA
Di atas pusara itu
bunga-bunga telah lama layu
hilang satu persatu
hanya bau mengisi masih
ruang demi ruang zaman
mengisi masih
ruang demi ruang insan
seorang pemngembara
tiba-tiba berhenti di tengahnya
dia menemui kesan-kesan bunga
dan bau yang segar mekar
seorang sarjana
tiba-tiba mendapat kesimpulan
pada dunia sarjananya
sekuntum bunga bisa hilang
kelompak dan warnanya
namun tidak akan baunya
di atas pusara itu
bunga-bunga telah lama layu
namun baunya harium selalu.
Selasa, 7 Februari 2017
Teori Takmilah
Buku Teori Takmilah: Perluasan & Penafsiran merupakan sebuah antologi esei yang menerapkan Teori Takmilah dalam pelbagai genre kesusasteraan.
Buku yang diterbitkan pada tahun 2014 ini telah diselenggarakan oleh Abdul Halim Ali dan diterbitkan oleh Persatuan Penulis Budiman Malaysia.
Buku setebal 262 halaman ini disempurnakan oleh 12 orang penulis yang menerapkan kajian dalam bidang kepakaran masing-masing.
Sebuah esei kritikan Nassury Ibrahim dimuatkan di halaman 131 - 149, berjudul "Pemikiran Takmilah dalam Sajak-Sajak Kumpulan 'Ayn Karya Kemala."
Isnin, 6 Februari 2017
Aku Generasi Zaman Baharu
NILAI-NILAI MURNI CERMINAN ISLAM
Dr Azman Rahmat
Seterusnya, isu perjuangan, semangat patriotik dan rasa cintakan tanah air merupakan bahan utama yang terdapat dalam sajak "Aku Generasi Zaman Baharu" karya Nassury Ibrahim. Generasi yang dilakarkan oleh penyajak ialah generasi yang tidak kenal jati diri. Generasi ini tidak tahu pahit maung perjuangan pejuang kemerdekaan menentang penjajah. Ironinya, generasi baharu ini tahu keadaan pemimpin yang berebut kuasa dan amalan rasuah yang menjadi tunjang kehidupannya. Aspek penyimpangan bahasa pada rangkap terakhir, 'di sini tanah berwalang seribu' berjaya menimbulkan keindahan dan ketajaman makna (Dewan Sastera Bil. 4 2017:56)
Jumaat, 3 Februari 2017
JOGJA
JOGJA
Jogja menyambutku dengan air penawar langit
udara beransur malam dan lampu akal berdiri
di sepanjang laluan
aku melangkah dengan kaki bas tanpa menghiraukan\
‘ring of fire’ dan pintu-pintu bunker kemas berkunci
perjalanan ini tidak akan aku mencarimu, Merapi
dan engkau Roro Jonggrang puteri jelita Prambanan
betapa digilai Bondowoso dengan mas seribu candi
dan jin-jin bertempiaran lari oleh kebijakan akalmu
menipu ayam jantan, juga tidak kuhiraukan
perjalanan ini mencari cinta Sailendra
bertahun memahat kisah suci pada ribuan batu,
stupa dan patung Buddha
membentuk bukit kitab umat memahami ajaran
datang membersih jiwa daripada daki duniawi
Borobudur, walau kita berlainan agama
tuntutan ketakwaan umat adalah sama
kuambil cinta pemahat batumu itu
buat melentur cinta dan akar peribadiku.
NASSURY IBRAHIM
Rabu, 18 Januari 2017
Antologi Puisi 'Pasir Karam'
Antologi setebal 460 halaman ini diterbitkan oleh Disbuparpora dan Dewan Kesenian Aceh Barat, Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Aceh.
Antologi ini memuatkan sajak-sajak yang ditulis oleh penyair dari Indonesia, Malaysia, Russia dan lain-lain.
Sebuah sajak Nassury Ibrahim berjudul 'Kata Ibu' dimuatkan di halaman 243.
KATA IBUKata ibu,sebodoh-bodoh si bodohbodoh lagi si pemalassetiap hari si pemalasasyik riba tanganlapar pun bersila di atastikar angan,sedang si bodohsenyum kekenyangantangan berulang kalimengasah parangsenjata yang ditumpulkantanah warisan.
Langgan:
Catatan (Atom)