Sekitar jam3.00 petang pada 13 September 2017 bertolak ke Medan bersama-sama Encik Mohd Fauzi Abdullah melalui KLIA2 dan sampai di LTA Kuala Namu sejam kemudian. Kami disambut oleh Encik Sharil dan dibawa ke Hotel Garuda Plaza, menginap di bilik 355 berharga RM197.10 semalam. Aku lihat SN Dato' Dr Zurinah Hassan sudah sampai.
Pada malamnya, aku ke Medan Mall Plaza untuk membeli buku di kedai Gramedia. Malangnya, kedai berkenaan tidak beroperasi lagi. Namun, terdapat kedai baharu bernama Toko Buku Aristotle.
Pada 14 September, kami mengikuti Seminar Internasional Sastera Lisan. Pada malamnya kami menyaksi persembahan syair oleh perwakilan Malaysia, Encik Roslan Madun dan rakan-rakan, di RRI. Wartawan RRI meminta aku beri pandangan akan aktiviti berkenaan. Aku memberitahu bahawa penganjuran aktiviti ini bagus kerana (1) mendedahkan aktiviti bersyair kepada generasi baharu, (2) mengeratkan jalinan hubungan persahabatan rakyat di negara yang terlibat, dan (3) boleh menarik minat generasi baharu terhadap aktiviti bersyair.
Sekitar jam 8.00 pagi pada 15 September kami menziarahi sepupu Encik Mohd Fauzi yang baru seminggu mendaftar belajar di Universitas Islam Negeri Sumatera Utara di Pancing. Pada mulanya kami ke Universitas Islam Sumatera Utara di Kota Medan kerana menyangka di situlah tempatnya. Kemudian, kami menaiki ojek ke Pancing. Selain UINSU, di sekitar Pancing terdapat Universitas Sumatera Medan, dan Universitas Amir Hamzah. Seterusnya, kami ke Toko Buku Gramedia di Jalan Gogja. Sekitar jam 3.00 kami ke RRI menyaksi persembahan bangsawan oleh perwakilan Singapura.
Pagi 16 September, kami membeli-belah di pasar buku terpakai di Titi Gantung dan Pajak Ikan. Kami pulang ke Malaysua sekitar jam 5.00 petang bersama-sama rombongan Roslan Madun, menaiki AirAsia. SN Dato' Dr Zurinah Hassan menaiki Mas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan