Antologi ISTIQAMAH BAHASA memuatkan sajak-sajak yang dihasilkan oleh 50 orang penyair dari Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia dan Singapura.
Mereka terdiri daripada penyair veteran dan baharu.
Antologi ini diterbitkan oleh IBH Khidmat pada tahun 2016, dan diselenggarakan oleh Ilhami Hisham. Kata Penghantar ditulis oleh Datuk Dr Awang Sariyan.
Antologi ISTIQAMAH BAHASA terbahagi kepada dua bahagian, iaitu bahagian Penyair Tamu seramai 33 orang, dan bahagian Peserta seramai 20 orang.
Sebuah sajak saya (Nassury Ibrahim) dimuatkan dalam bahagian Penyair Tamu. Sajak itu berjudul Kita dari Rumpun yang Sama di halaman 40.
KITA DARI RUMPUN YANG SAMA
engkau di sana dengan rambu-rambu
aku di sini dengan malu sipu-sipu
hulurkan tangan cintamu
mari kita berjabat mesra
seperti anak dan ayah
betapa engkau di sana aku di sini
kita dari rumpun yang sama
membesar daripada
perut bangsa yang sama
lahir atas tanah moyang yang sama
betapa engkau di sana aku di sini
usah kita membiarkan kuku politik
mencakar pipi cinta
mematahkan lantai budaya
kerana kita berkongsi
suara dari bahasa yang sama
pantang dari adat yang sama
berdoa pun kita
pada Tuhan yang sama
betapa engkau di sana aku di sini
kita dari rumpun yang sama.
16 Oktober 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan