Rabu, 27 Januari 2016

Bah Kuning


Rakaman bah kuning yang melanda Kelantan, khususnya, pada tahun 2014 telah dirakam oleh para penyair dalam antologi berjudul Bah Kuning. 

Antologi ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Timur pada tahun 2015, dan diselenggarakan oleh Sharrul Rizal Hashim dan Muhamad Ikhram Fadhly Hussin.

antologi setebal 260 halaman memuatkan 81 buah sajak yang ditulis oleh 59 orang penyair, dan 12 buah cerpen yang ditulis oleh 11 orang cerpenis.

Terdapat sebuah sajak Nassury Ibrahim dalam halaman 93 antologi ini, yang diberi judul "Tiba-tiba."

TIBA-TIBA

Hujan masih lena dalam gebar awan
kilat masih berselimut di hujung serambi
alam nan hijau masih langit nan cerah

Namun, tiba-tiba sahaja
ya, tiba-tiba sahaja orang hulu itu
berpusu-pusu menggelongsor menerjah turun
dari parit bukit ke lembah rumput

Apakah alamat? Apakah isyarat?
tak sempat kami mentafsirnya
menganalisis dan berwacana

Tiba-tiba sahaja, tiba-tiba sahaja
kebun jadi padang, padang jadi laut
lembah nan hijau pun kuning berselut

Kereta dan jalan, minda dan haiwan
pun saling merindu, dan bertanyaan;
"Mengapakah engkau tiba-tiba
menerkam dan membaham
damai rumah dan hidup kami?"

15 Mac 2015


Tiada ulasan:

Catat Ulasan