Rabu, 25 Jun 2014

KAJIAN PUISI OLEH ZAHARA BINTI ZULKIFLY

PUISI-PUISI NASSURY IBRAHIM: SATU ANALISIS STILISTIK DARI SUDUT GAYA BAHASA ialah sebuah tugasan bagi kertas BBK5202 Program Master Sastera di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden, Universiti Putra Malaysia (UPM). Kertas kajian oleh Zahara Binti Zulkifly ini di bawah seliaan Encik Kamaruzzaman A. Kadir (Dharmawijaya - seorang penyair tersohor tanah air). Puan Zahara mengkaji aspek gaya bahasa dalam 51 buah puisi Nassury Ibrahim, iaitu puisi-puisi yang dihasilkan sekitar tahun 1990 hingga 2000. 

Selasa, 24 Jun 2014

MAJLIS SEJENAK BERSAMA SASTERAWAN DAN PENYAIR

SEMPENA Festival Sastera Perpaduan Malaysia tahun 2003 anjuran Gapena dan Kerajaan Negeri Sabah dilaksanakan satu majlis dialog yang dinamakan Majlis Sejenak Bersama Sasterawan dan Penyair Festival Sastera Perpaduan Malaysia Tahun 2003.  Majlis dialog itu dilaksanakan di SMK Putatan Penampang, Tanjung Aru, Kota Kinabalu pada 23 Ogos 2003 pukul 8.00 - 11.00 pagi. Nassury Ibrahim telah dijemput sebagai ahli panel dalam majlis berkenaan, bersama-sama dengan Tuan Sharif Putera dan Haji Mokhtar Yassin.

Isnin, 23 Jun 2014

MAKALAH KRITIKAN DRS MOHAMAD DAUD MOHAMAD

INI ialah sebuah makalah yang dihasilkan oleh Drs Mohamad Daud Mohamad, dari Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Makalah ini dibentangkan dalam Seminar Karya Generasi Baru (Genre Puisi) anjuran Bahagian Anugerah dan Penataran Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama Persatuan Penulis Kuala Lumpur pada 18 Julai 1998. Tajuk makalah ialah 'Menimba Laut di dalam Kedalaman Lautan Nassury Ibrahim.' Menurut Drs Mohamad Daud Mohamad, sajak-sajak Nassury Ibrahim masih berada di tingkat permukaan, belum sepenuh masuk ke kedalaman rasa dan karsa. Malah, sebahagian besar sajak Nassury Ibrahim menampilkan bentuk penceritaan atau pengalaman lahiriah, tidak menuntut banyak renungan untuk mencungkil makna yang bertautan dengan rasa dan karsa.

Ahad, 22 Jun 2014

PANDUAN PENULISAN KAJIAN TINDAKAN

PANDUAN PENULISAN KAJIAN TINDAKAN IPG KAMPUS TAWAU ialah sebuah buku yang diterbitkan khusus untuk kegunaan para pelajar PISMP. Buku yang diselenggarakan oleh Idarmawati Binti Ahmad, Dr. Bridget Lim Suk Han, Mahmud Bin Ahmad, dan Nor Hafizah Binti Ahmad diterbitkan pada tahun 2014 adalah sebagai panduan penulisan untuk para pelajar yang mengambil kertas Penyelidikan Tindakan pada semester 7 dan 8. Buku ini merupakan sumbangan terakhir Maniyamin Ibrahim dalam penulisan di IPG Kampus Tawau, sebelum berpindah ke IPG Kampus Bahasa Melayu. Melalui buku setebal 38 halaman ini, Maniyamin Ibrahim (Nassury Ibrahim), terpilih sebagai ahli sidang editor dan bertanggungjawab menyumbangkan tenaga sebagai pemurni dan penyunting skrip. 

Jumaat, 20 Jun 2014

MALAY LITERATURE

MALAY LITERATURE ialah sebuah jurnal yang menyiarkan artikel dan karya tentang kesusasteraan Melayu. Jurnal ini diterbitkan sebanyak dua kali setahun. Tujuannya ialah untuk memperkenalkan kesusasteraan Melayu kepada negara-negara lain. Malay Literature keluaran 15, nombor 1 pada tahun 2002 telah menyiarkan  dua buah sajak Nassury Ibrahim yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Dua sajak tersebut ialah sajak 'Demikian' (Thus) di halaman 112-113, dan sajak 'Menimba Laut (Bailing The Sea) di halaman 114 - 115.

Khamis, 19 Jun 2014

ELIPSIS

ELIPSIS ialah sebuah kumpulan sajak perseorangan hasil karya Nassury Ibrahim. Kumpulan ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada tahun 2008. Penerbitannya diuruskan oleh DBP Wilayah Utara.Terdapat sebanyak 97 buah sajak yang dihasilkan sejak tahun 1987 hingga tahun 2005. Elipsis merupakan kumpulan sajak Nassury Ibrahim yang kelima selepas Cermin (1987), Menimba Laut (1996), Di Rumah Wiramal (2003) dan Peta Perjalanan (2006). Editor mencatatkan bahawa kumpulan sajak Elipsis mengungkapkan pelbagai tema yang menggambarkan keragaman pengalaman penulis.

Rabu, 18 Jun 2014

TIFA ii

TIFA ii ialah sebuah antologi sajak yang diterbitkan oleh Gabungan Penulis-Penulis Muda Kelantan (GEMA) pada tahun  1986. Penerbitan antologi ini adalah sempena Malam Apresiasi Puisi Ramadan anjuran GEMA  dan berlangsung di Dewan Majlis Belia Kelantan pada 3 Mei 1986 atau bersamaan 24 Saaban 1406 Hijrah. Antologi sajak yang telah diselenggarakan oleh Rosli K. Matari dan reka bentuk kulit oleh Azmi Taib memuatkan 36 buah sajak berunsur Islam yang dihasilkan oleh 30 orang penyair, khususnya dari Kelantan. Salah seorang daripada mereka ialah Nassury Ibrahim yang menyumbangkan sajak berjudul 'Peta' di halaman 25.   

Isnin, 16 Jun 2014

BERSAMA FAJAR MUHARRAM

BERSAMA FAJAR MUHARRAM ialah sebuah antologi sajak berunsur Islam. Antologi ini diterbitkan oleh Pelita Sudut Daerah Dungun pada tahun 1986 atau bulan Muharram tahun 1407, dan diselenggarakan oleh Moharani Tanusi dan Awang Abdullah. Terdapat 39 orang penyair telah menyumbangkan sajak mereka dalam antologi ini. Antologi berharga RM5 turut memuatkan sebuah sajak Nassury Ibrahim berjudul 'Azan' terdapat di halaman 6.

Sabtu, 14 Jun 2014

ANGKATAN 21

ANGKATAN 21 merupakan satu koleksi yang menghimpunkan penyataan sikap, pemikiran dan karya ahli Angkatan 21. Antologi ini telah diselenggarakan oleh Marsli N.O. dan diterbitkan oleh Forum Abad 21 pada tahun 2000. Di dalamnya terkandung 11 buah cerpen yang digarapkan oleh lapan orang penulis, 18 buah sajak yang digarapkan oleh 11 orang penyair, dan 11 buah esei yang digarapkan oleh 11 orang penulis. Selain itu terdapat juga biodata ahli Angkatan 21, dan satu memorandum sebagai penyataan sikap dan wawasan sastera ahli Angkatan 21. Terdapat dua buah karya Nassury Ibrahim yang diterbitkan, iaitu sebuah sajak yang berjudul 'Kita Tak Akan Mati, Anakku' di halaman 83, dan sebuah esei yang bertajuk 'Proses Kreatif Kumpulan Sajak Sejak Kau Hadir (Peta Perjalanan) di halaman 155 - 162.

Jumaat, 13 Jun 2014

ANTOLOGI ANTI-PERANG LAKARAN DAN PUISI

ANTOLOGI ANTI-PERANG LAKARAN DAN PUISI ialah sebuah antologi sajak dan sketsa para penyair dan seniman Malaysia. Antologi ini diselenggarakan oleh Raja Ahmad Aminullah pada tahun 2003 dan diterbitkan oleh Yayasan Kesenian Perak. Penerbitannya adalah sebagai rakaman peristiwa peperangan, khususnya yang berlaku di tanah Arab seperti Iraq dan Palestin, misalnya. Antologi ini memuatkan rakaman perasaan para penyair yang diselang-selikan dengan sketsa. Terdapat dua buah sajak Nassury Ibrahim dimuatkan dalam antologi ini, iaitu sajak berjudul 'The King of Syaitan' terdapat di halaman 52, dan sajak 'Perang' terdapat di halaman 53.

Khamis, 12 Jun 2014

Pengembaraan Sastera Bermula di Sekolah

Berita berencana ini diterbitkan di bawah ruangan kolum Nuansa Pengarang dalam akhbar BH 10 Jun 2014. Fokus penceritaan adalah berkenaan sejarah awal penglibatan Nassury Ibrahim dalam penulisan, dan proses kepengarangan. Terdapat sedikit kesilapan taip - 12 antologi cerpen itu merujuk kepada penghasilan kumpulan sajak, kumpulan sajak bersama, dan penyelenggaraan antologi sajak/cerpen.

CETERA 94

CETERA 94 ialah sebuah antologi sajak yang telah diselenggarakan oleh A. Ghani Abdullah, Azmi Yusoff, dan Naapie Mat. Antologi terbitan Kelab Sastera DBP yang pertama ini memuatkan 100 buah sajak hasil karya 94 orang penyair yang menjadi ahli Kelab Sastera DBP. Mereka berada di serata tempat di Malaysia dan aktif sekitar tahun 1990-an. Daripada 94 orang penyair itu, sebuah sajak Nassury Ibrahim turut dimuatkan dalam antologi ini. Sajak tersebut berjudul 'Di Dalam Gumpalan Cat Lukisannya' dimuatkan di halaman 75.

Selasa, 10 Jun 2014

MASIH ADAKAH KASIH UNTUKKU

MASIH ADAKAH KASIH UNTUKKU ialah antologi sajak dan cerpen pemenang Hadiah Sastera Utusan - Publik Bank tahun 1985. Terdapat sembilan pemenang kategori cerpen, dan 16 pemenang kategori sajak, telah diselenggarakan oleh Wahba. Antara penulis terkenal yang terdapat karya mereka dalam antologi ini ialah Norhisham Mustafa, Zaharah Nawawi, Razak Mamat, Muhd. Mansur Abdullah, Rejab F.I, Abdulhadi Muhammad, Zurinah Hassan, T. Alias Taib, Atondra, Abdulaziz H.M dan lain-lain. Sebuah sajak Nassury Ibrahim telah memenangi Hadiah Utama bagi kategori sajak. Sajak tersebut berjudul 'Dendam' terdapat di halaman 142. Antologi ini diterbitkan oleh Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. pada tahun 1986.    

Isnin, 9 Jun 2014

KOLEKSI PUISI PERHIMPUNAN PENYAIR MUDA MALAYSIA '87

KOLEKSI PUISI PERHIMPUNAN PENYAIR MUDA MALAYSIA '87 merupakan koleksi sajak penulis muda Malaysia yang bangkit menyuarakan hak mereka. Antologi ini diterbitkan sempena Perhimpunan Penyair Muda di perkarangan rumah Anak Alam, Padang Merbuk, Kuala Lumpur, sekitar bulan Disember tahun 1987, di bawah pimpinan M. Hanafiah A. Samad. Sebuah sajak Nassury Ibrahim turut dimuatkan dalam antologi ini. Sajak tersebut berjudul 'Hati-Hati Memandu di Jalan Raya' terdapat di halaman 48.

Ahad, 8 Jun 2014

SUNGAI KERTAPANG

SUNGAI KERTAPANG ialah sebuah antologi sajak yang diterbitkan oleh Persatuan Penulis Tumpat (PESISIR) pada tahun 1984. Penerbitannya adalah sempena Perkhelahan Puisi di SK. Sungai Kertapang pada 31 Julai 1984. Pesisir merupakan antara persatuan penulis yang aktif di Kelantan, selepas Persatuan Penulis Kelantan (PPK). Antologi Sungai Kertapang diterbitkan secara stensilan, memuatkan 47 buah sajak yang digarap oleh 40 orang penyair berasal dari Kelantan. Daripada 40 orang penyair itu, sebuah sajak Nassury Ibrahim berjudul 'Burung Camar' turut dimuatkan, iaitu di halaman 32.

Selasa, 3 Jun 2014

GELODAK RASA

GELODAK RASA merupakan kumpulan sajak perseorangan Nassury Ibrahim yang ke-6. Kumpulan ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada tahun 2014. Gelodak Rasa memuatkan 105 buah sajak dengan meliputi empat tema utama, dan pelbagai gaya persembahan. Buku ini dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu Bersila di Beranda Silam, Makna Perjalanan, dan Setelah Sekian Tahun Kita Merdeka. Antara sajak yang sering mendapat perhatian deklamator, terdapat dalam kumpulan ini, ialah sajak 'Pidato Umum di Dataran Merdeka' dan sajak 'Lelaki Pertama Membuka Sangkar Derita Kita.' 

Isnin, 2 Jun 2014

CIKGU SHAHNON DI MATA KAMI

BUKU berjudul Cikgu Shahnon di Mata Kami merupakan kumpulan esei yang memper-katakan, sama ada dalam konteks hubungan peribadi mahupun karya, tentang Sasterawan Negara Cikgu Shahnon Ahmad dari persepsi para penulis. Buku terbitan ITBM ini diselenggarakan oleh Rahimidin Zahari, memuatkan 26 buah esei yang ditulis oleh 26 orang penulis lama dan baharu dan dicetak pada tahun 2013. Sebuah esei Nassury Ibrahim yang berjudul 'Membaca Novel Shit, dan Pembaca Novel Shit' dimuatkan di halaman 73 - 79.